[TERKINI] PM Anwar Umum Penghargaan Luar Biasa kepada Rakyat, 10.30 Pagi Esok – Info Terkini Di Sini
DUNIA

Pentadbiran Trump dedah dokumen siasatan pembunuhan Martin Luther King Jr

Agensi 21/07/2025 | 23:20 MYT
Pemimpin hak sivil terkenal, Dr Martin Luther King Jr ditembak mati pada 4 April 1968 di Memphis, Tennessee pada usia 39 tahun. - Gambar fail AP
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendedahkan ribuan dokumen berkaitan pembunuhan pemimpin hak sivil terkenal, Dr Martin Luther King Jr - termasuk fail risikan dan pemantauan sulit oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Sebanyak 230,000 halaman dokumen yang sebelum ini diklasifikasikan sejak 1977 kini didedahkan kepada umum, selepas perintah mahkamah yang selama ini menyekat akses kepada fail berkenaan ditarik balik.

Pendedahan tersebut mencetuskan reaksi bercampur daripada keluarga mendiang.

Dua anak Dr King yang masih hidup, Martin Luther King III dan Bernice King menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan dokumen tersebut disalah guna.

“Sebarang cubaan untuk memanipulasi dokumen ini dengan niat untuk menjejaskan warisan ayah kami adalah tidak beretika,” menurut kenyataan bersama mereka pada Isnin.

“Kami mohon kepada mereka yang meneliti dokumen ini agar melakukannya dengan empati, penuh hormat dan memahami kedukaan keluarga kami yang masih berpanjangan.”

Kenyataan itu turut mengingatkan bahawa sepanjang hayat Dr King, beliau menjadi sasaran kempen pemantauan dan maklumat palsu yang sistematik dan mengganggu, diketuai oleh bekas Pengarah FBI, J Edgar Hoover.

“Kerajaan telah merampas maruah dan hak privasi ayah kami sebagai seorang rakyat biasa,” kata kenyataan tersebut.

Dr Martin Luther King Jr, seorang paderi Baptis dan ikon perjuangan hak asasi manusia di AS ditembak mati pada 4 April 1968 di Memphis, Tennessee pada usia 39 tahun.

James Earl Ray, seorang penjenayah berulang, mengaku bersalah atas pembunuhan tersebut namun kemudian menarik balik pengakuannya.

Donald Trump, ketika berkempen untuk jawatan Presiden, pernah berjanji untuk mendedahkan dokumen berkaitan pembunuhan Dr King serta Presiden John F Kennedy dan Senator Robert F Kennedy.

Pada Januari lalu, beliau menandatangani perintah eksekutif bagi mengarahkan penyahklasifikasian dokumen-dokumen berkenaan.

Pejabat Pengarah Risikan Negara (DNI) dalam kenyataan berkata, dokumen mengenai Martin Luther King Jr itu tidak pernah didigitalkan dan telah “berhabuk selama beberapa dekad” di pelbagai agensi kerajaan sebelum didedahkan hari ini.

Dokumen itu termasuk memo dalaman FBI dan rekod Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang tidak pernah didedahkan sebelum ini, berkaitan usaha mengesan pembunuh Dr King.

Pendedahan itu merupakan hasil kerjasama FBI, Jabatan Kehakiman, Arkib Negara serta CIA.

“Rakyat Amerika berhak mengetahui kebenaran berdekad selepas pembunuhan tragis salah seorang pemimpin besar negara ini,” kata Peguam Negara AS, Pamela Bondi.

Namun, pengkritik Trump mendakwa, langkah tersebut dilakukan dalam keadaan pentadbirannya sedang berdepan tekanan hebat berhubung isu ketelusan fail berkaitan pesalah seksual berprofil tinggi, Jeffrey Epstein, yang ditemui mati di penjara pada 2019 dan disahkan membunuh diri.

Pemimpin hak sivil, Rev. Al Sharpton menyifatkan pendedahan ini sebagai “usaha terdesak untuk mengalih perhatian” daripada krisis kepercayaan yang sedang membelenggu Trump, khususnya isu fail Epstein yang masih belum didedahkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, tidak semua ahli keluarga Dr King menolak pendedahan dokumen itu.

Anak saudara mendiang, Alveda King berkata: “Saya berterima kasih kepada Presiden Trump dan Pengarah Risikan Gabbard atas komitmen mereka terhadap ketelusan.

“Walaupun kami masih bersedih atas kehilangan beliau, penyahklasifikasian ini adalah langkah bersejarah ke arah kebenaran yang sewajarnya diketahui rakyat Amerika.” - Agensi



#Martin Luther King Jr #dokumen siasatan #pembunuhan Martin Luther #Presiden Donald Trump