DUNIA

Pentadbiran Trump gugurkan hampir 30 diplomat kanan dari jawatan duta

Agensi 23/12/2025 | 23:50 MYT
Trump memanggil semula hampir 30 diplomat kerjaya daripada jawatan duta dan kedudukan kanan di kedutaan Amerika Syarikat dalam usaha merombak semula dasar diplomatik negara itu di luar negara selaras dengan agenda “America First.” - Gambar Reuters
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan memanggil semula hampir 30 diplomat kerjaya daripada jawatan duta dan kedudukan kanan di kedutaan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha merombak semula dasar diplomatik negara itu di luar negara selaras dengan agenda “America First.”

Menurut dua pegawai Jabatan Negara AS yang enggan dikenali, ketua misi di sekurang-kurangnya 29 negara dimaklumkan minggu lalu bahawa tempoh perkhidmatan mereka akan berakhir pada Januari 2026.

Kesemua mereka dilantik ketika pentadbiran Presiden Joe Biden dan sebelum ini terselamat daripada pembersihan awal pada bulan-bulan pertama penggal kedua Trump yang menyasarkan lantikan politik.

Namun, keadaan berubah apabila mereka menerima notis rasmi dari Washington mengenai penamatan tugas.

Jawatan duta adalah lantikan Presiden dan lazimnya berkhidmat antara tiga hingga empat tahun.

Mereka yang terlibat tidak kehilangan pekerjaan dalam perkhidmatan luar negara, sebaliknya akan kembali ke Washington untuk tugasan baharu sekiranya bersetuju.

Jabatan Negara enggan mengulas jumlah tepat diplomat yang terjejas, namun mempertahankan langkah itu sebagai “proses standard dalam mana-mana pentadbiran.”

Ia menegaskan bahawa duta adalah “wakil peribadi Presiden dan Presiden berhak memastikan individu yang dilantik mendukung agenda America First.”

Afrika menjadi benua paling terkesan dengan pengguguran ini melibatkan 13 negara termasuk Burundi, Cameroon, Cape Verde, Gabon, Ivory Coast, Madagascar, Mauritius, Niger, Nigeria, Rwanda, Senegal, Somalia dan Uganda.

Asia pula menyaksikan perubahan di enam negara: Fiji, Laos, Kepulauan Marshall, Papua New Guinea, Filipina dan Vietnam. Empat negara di Eropah (Armenia, Macedonia, Montenegro dan Slovakia) turut terlibat, selain dua negara di Asia Barat (Algeria dan Mesir), Asia Selatan dan Tengah (Nepal dan Sri Lanka), serta Hemisfera Barat (Guatemala dan Suriname).

Politico merupakan pihak pertama melaporkan pengguguran ini, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penggubal undang-undang dan kesatuan yang mewakili diplomat AS. - Agensi



#Donald Trump #Diplomat kanan #gugur jawatan #pentadbiran Donald Trump