Skip to main content

Dunia

Pentadbiran Trump mahu miliki sebahagian rizab minyak Venezuela

[TB]_GAS STATION PDVSA_REUTERS
Pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan sementara Venezuela mengenai cadangan untuk memberikan pegangan pemilikan kepada Amerika dalam sumber minyak negara Amerika Selatan itu. - Gambar hiasan/ Reuters
Advertisement

NEW YORK: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan sementara Venezuela mengenai cadangan untuk memberikan pegangan pemilikan kepada AS dalam sumber minyak negara Amerika Selatan itu.

Menurut laporan portal berita Axios pada Khamis, perbincangan tersebut melibatkan sejumlah medan minyak yang masih produktif dengan rizab terbukti berjumlah 90 bilion tong atau kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan rizab terbukti Venezuela yang dianggarkan sebanyak 300 bilion tong.

Memetik dua pegawai AS yang tidak dinamakan, laporan itu menyatakan bahawa sebagai balasan kepada pegangan pemilikan AS, syarikat swasta termasuk firma Amerika akan membangunkan medan-medan minyak berkenaan dan membantu meningkatkan pulangan hasil petroleum kepada Venezuela.

Venezuela memiliki rizab minyak terbukti terbesar di dunia. 

Jika dimuktamadkan, perjanjian itu berpotensi menggandakan saiz rizab minyak AS ketika Simpanan Petroleum Strategik negara itu dilaporkan berada pada paras terendah dalam tempoh 40 tahun.

Setakat ini, pentadbiran Trump belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan tersebut.

Hampir lapan bulan selepas AS menggulingkan bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menerusi operasi ketenteraan, Presiden sementara, Delcy Rodriguez dilaporkan berusaha membuka semula negara itu kepada pelaburan asing, khususnya dalam sektor tenaga.

Rodriguez kini mentadbir Venezuela di bawah tekanan kuat daripada Trump yang mahu memainkan peranan lebih besar dalam industri minyak negara berkenaan.

Pentadbiran Trump juga dilaporkan menggalakkan syarikat-syarikat Amerika untuk melabur di Venezuela. 

Namun, kebanyakan syarikat masih berhati-hati berikutan keadaan infrastruktur yang uzur serta sejarah kerajaan di Caracas mengambil alih aset pelabur asing pada masa lalu.

Sementara itu, Chevron, satu-satunya syarikat minyak AS yang masih beroperasi di Venezuela ketika Maduro digulingkan, memaklumkan pada Julai lalu bahawa pengeluaran minyak mentah hariannya telah meningkat kepada 280,000 tong.

Syarikat itu turut merancang meningkatkan pengeluaran sebanyak 50 peratus menjelang penghujung 2028, menandakan keyakinan berterusan terhadap potensi sektor tenaga Venezuela. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement