Pentadbiran Trump mulakan pemberhentian pekerja persekutuan pada hari ke-10 penutupan kerajaan

"RIF telah bermula," kata Pengarah Pejabat Pengurusan dan Belanjawan White House, Russell Vought (foto) di platform media sosial X, merujuk kepada istilah "Reduction in Force (RIF)". -Gambar fail/AP
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat mengumumkan bahawa proses pemberhentian pekerja persekutuan telah bermula ketika penutupan kerajaan memasuki hari ke-10, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Pentadbiran Trump memulakan proses pemberhentian pekerja persekutuan (RIF) ketika penutupan kerajaan AS memasuki hari ke-10, melibatkan agensi utama seperti Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Perbendaharaan.
- AFGE mengecam tindakan itu sebagai ugutan politik dan memaklumkan bahawa tindakan undang-undang telah difailkan bagi membela nasib kira-kira 800,000 kakitangan kerajaan.
- Rundingan bajet di Kongres masih buntu apabila cadangan pembiayaan sementara daripada Demokrat dan Republikan gagal diluluskan, menyebabkan penutupan kerajaan berlarutan.
Menurut laporan media AS, pusingan pemberhentian kali ini dijangka berskala besar dan memberi kesan yang meluas, dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Awam serta Jabatan Perbendaharaan antara agensi yang merancang langkah pemberhentian.
Presiden Trump dan pegawai White House berulang kali menegaskan bahawa pekerja persekutuan akan berdepan pemberhentian sekiranya penutupan kerajaan berlaku, sambil menyalahkan parti Demokrat atas situasi itu.
Namun, pemimpin Demokrat menuduh parti Republikan menggunakan kakitangan persekutuan sebagai "bidak" dalam pertikaian bajet, menyifatkannya sebagai satu bentuk ugutan dan ancaman.
Persekutuan Kakitangan Kerajaan Amerika (AFGE), yang mewakili kira-kira 800,000 pekerja turut berkongsi semula kenyataan Vought di platform X dengan menyatakan bahawa "tindakan undang-undang telah difailkan."
"Adalah memalukan apabila pentadbiran Trump menggunakan penutupan kerajaan sebagai alasan untuk memecat ribuan pekerja yang menyediakan perkhidmatan penting kepada komuniti di seluruh negara.
"Pekerja kerajaan sudah muak dijadikan alat untuk kepentingan politik dan peribadi pemimpin yang dipilih mahupun tidak dipilih.
"Kini tiba masanya Kongres melaksanakan tanggungjawab mereka dan menamatkan penutupan ini dengan segera," kata Presiden Nasional AFGE, Everett Kelley.
Sementara itu, kebuntuan di Kongres masih belum berakhir. Pada Khamis, Senat AS gagal meluluskan rang undang-undang pembiayaan sementara baharu selepas cadangan daripada kedua-dua parti, Demokrat dan Republikan ditolak.
Parti Demokrat menuntut peluasan manfaat penjagaan kesihatan dalam rang undang-undang itu, manakala Republikan bertegas mahu meluluskan langkah pembiayaan jangka pendek "tanpa pindaan", menyebabkan kedua-dua pihak buntu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami