WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump sedang membuat persiapan untuk mencetak wang kertas baharu bernilai AS$250 yang berpotensi memaparkan potret beliau, sekiranya cadangan undang-undang berkaitan diluluskan Kongres.
Menurut pegawai Jabatan Perbendaharaan, agensi itu kini sedang menjalankan “perancangan sewajarnya dan penelitian rapi” bagi memastikan kesiapsiagaan sekiranya rang undang-undang tersebut diluluskan.
Cadangan itu merupakan inisiatif sekutu Trump dalam Kongres yang ingin memperkenalkan denominasi baharu sebagai simbol sambutan ulang tahun ke-250 penubuhan AS tahun ini.
Bagaimanapun, pelaksanaan cadangan ini berdepan halangan besar kerana undang-undang persekutuan AS ketika ini melarang sebarang imej individu yang masih hidup dipaparkan pada mata wang negara.
Larangan itu telah berkuat kuasa sejak 1866, menjadikan cadangan meletakkan wajah Trump pada wang kertas satu langkah yang tidak pernah berlaku dalam lebih 150 tahun.
Bagi membolehkan perkara itu, Ahli Dewan Perwakilan dari Republikan, Joe Wilson, telah memperkenalkan rang undang-undang untuk memberi pengecualian kepada larangan tersebut, khususnya bagi individu yang pernah atau sedang memegang jawatan presiden.
Rang undang-undang itu bagaimanapun masih berada di peringkat awal dan perlu diluluskan oleh kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat sebelum boleh menjadi undang-undang.
Sebagai langkah awal, Biro Ukiran dan Percetakan (BEP), agensi di bawah Jabatan Perbendaharaan yang bertanggungjawab menghasilkan mata wang, telah diminta menyediakan reka bentuk awal wang kertas tersebut.
Walaupun konsep artistik belum didedahkan kepada umum, laporan menyebut bahawa prototaip dan reka bentuk awal telah dihasilkan, termasuk cadangan potret Trump di tengah wang kertas sebagai simbol ulang tahun negara.
Selain itu, tandatangan Trump juga dijangka akan dipaparkan pada wang kertas AS sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-250 negara itu.
Cadangan tersebut turut menimbulkan persoalan dari segi undang-undang lain kerana sistem mata wang AS tidak menyenaraikan denominasi AS$250 sebagai wang yang dibenarkan dicetak.
Ketika ini, wang kertas terbesar yang masih dicetak untuk peredaran umum ialah AS$100, manakala denominasi lebih tinggi seperti AS$500 dan AS$1,000 telah dihentikan sejak 1969 walaupun masih sah sebagai tender.
Cadangan itu mendapat kritikan daripada beberapa ahli politik, termasuk Senator Demokrat Mark Warner, yang menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak seiring dengan keperluan rakyat.
Beliau berkata, ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat, keutamaan kerajaan seharusnya tertumpu kepada isu ekonomi, bukannya projek yang dilihat sebagai mempromosikan imej presiden.
Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, menegaskan bahawa pelaksanaan cadangan itu sepenuhnya bergantung kepada keputusan Kongres, walaupun pihaknya bersedia dari segi teknikal.
Sekiranya diluluskan, wang kertas AS$250 itu akan menjadi perubahan besar dalam sejarah mata wang AS - bukan sahaja kerana denominasi baharu, tetapi juga kerana ia mungkin memaparkan potret seorang tokoh yang masih hidup.
Pemerhati melihat langkah ini sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas oleh Trump dan sekutunya untuk meletakkan nama serta imej beliau pada pelbagai simbol rasmi negara.