INTERNATIONAL

Pentadbiran Trump tawar AS$1,000 kepada migran tanpa dokumen untuk pulang secara sukarela

Bernama 06/05/2025 | 06:40 MYT
Pentadbiran Trump menawarkan AS$1,000 kepada pendatang asing tanpa izin yang bersetuju pulang ke negara asal secara sukarela melalui aplikasi CBP Home App. -Gambar fail/Reuters
HOUSTON: Pentadbiran Trump pada Isnin mengumumkan tawaran sebanyak AS$1,000 kepada mana-mana pendatang asing tanpa izin yang bersetuju untuk pulang ke negara asal secara sukarela, dengan alasan kaedah itu lebih murah, selamat dan berkesan, lapor Agensi Anadolu.

Ringkasan AI
  • Pentadbiran Trump menawarkan AS$1,000 kepada pendatang asing tanpa izin yang bersetuju pulang ke negara asal secara sukarela melalui aplikasi CBP Home App.
  • Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kos pengusiran dan memberikan pilihan yang lebih selamat dan bermaruah kepada pendatang tanpa izin.
  • Penyertaan dalam program ini mungkin membantu pendatang tanpa izin untuk kembali ke Amerika Syarikat secara sah pada masa akan datang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat (AS), pendatang yang memilih untuk pulang menggunakan aplikasi Customs and Border Protection (CBP) Home App akan menerima wang tunai serta bantuan perjalanan.
Pembayaran hanya akan dibuat selepas kepulangan mereka disahkan menerusi aplikasi itu.
"Jika anda berada di sini secara haram, pemulangan sukarela adalah cara terbaik, paling selamat dan paling menjimatkan untuk meninggalkan Amerika Syarikat serta mengelakkan daripada ditahan," kata Setiausaha DHS, Kristi Noem.
Menurut DHS, kaedah pemulangan sukarela bukan sahaja lebih bermaruah, malah membolehkan warga asing tanpa izin mengelak daripada dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE).
Dengan jutaan pendatang tanpa izin dianggarkan menetap di Amerika Syarikat, DHS menjelaskan bahawa inisiatif itu dapat mengurangkan kos pengusiran secara ketara -- lebih dua pertiga daripada kos biasa.
Pada masa ini, purata kos bagi menahan, memproses dan menghantar pulang seorang migran mencecah AS$17,121.
"Inilah pilihan paling selamat buat pihak berkuasa dan migran, dan menjimatkan kira-kira 70 peratus kos kepada pembayar cukai Amerika. Muat turun CBP Home App HARI INI dan pulang secara sukarela," kata Noem.
DHS turut memaklumkan bahawa inisiatif itu telah digunakan oleh seorang migran yang kembali ke Honduras menaiki penerbangan dari Chicago, manakala beberapa lagi telah menempah tiket untuk pulang minggu ini dan minggu hadapan.
Migran yang menyerahkan notis "Hasrat untuk Pulang" secara sukarela juga akan "tidak lagi menjadi keutamaan untuk penahanan dan pengusiran sebelum tarikh pemergian mereka."
Selain itu, DHS menjelaskan bahawa penyertaan dalam program itu mungkin membantu memelihara peluang untuk pendatang tanpa izin berkenaan kembali ke Amerika Syarikat secara sah pada masa akan datang.
-- BERNAMA
#pendatang asing #Donald Trump #kos pengusiran #pulang ke negara asal