DUNIA
Pentadbiran Trump tuntut penyelesaian AS$1 bilion daripada UCLA

Imej menunjukkan sekumpulan pelajar berjalan melintasi Royce Hall di kampus University of California, Los Angeles. - Gambar fail AP
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Jumaat menuntut denda besar berjumlah AS$1 bilion daripada sistem Universiti California (UC) ketika pentadbirannya terus mengaitkan University of California Los Angeles
(UCLA) dengan dakwaan antisemitisme susulan tindak balas universiti itu terhadap protes pelajar berkaitan Gaza pada 2024.
Jumlah itu adalah lima kali ganda lebih besar daripada penyelesaian yang dipersetujui Universiti Columbia bagi menamatkan tuduhan antisemitisme persekutuan yang sama, dan menurut seorang pegawai kanan, ia akan “benar-benar melumpuhkan” sistem universiti awam UC.
Presidennya, James Milliken yang mengetuai 10 kampus di bawah sistem Universiti California termasuk UCLA yang berpusat di Los Angeles berkata, pihak pengurusan menerima tuntutan AS$1 bilion itu pada Jumaat dan sedang menelitinya.
“Sebagai universiti awam, kami adalah pemegang amanah sumber pembayar cukai, dan pembayaran sebesar ini akan memusnahkan sistem universiti awam terbaik negara ini selain memberi kesan buruk kepada pelajar dan seluruh rakyat California,” katanya.
“Rakyat Amerika di seluruh negara ini bergantung kepada kerja penting UCLA dan sistem UC bagi teknologi dan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa, mengembangkan ekonomi AS dan melindungi keselamatan negara,” tambahnya.
Laporan media memetik kerajaan sebagai mahu pembayaran dibuat secara ansuran selain menuntut universiti membayar tambahan AS$172 juta kepada tabung tuntutan bagi memberi pampasan kepada pelajar Yahudi dan pihak lain yang terkesan oleh dakwaan diskriminasi tersebut.
Sistem UC yang menempatkan universiti awam terbaik di Amerika Syarikat, kini sudah pun berdepan pembekuan dana penyelidikan perubatan dan sains melebihi AS$500 juta di UCLA oleh pentadbiran Trump.
Langkah ini dilihat mengikut pendekatan yang digunakan White House untuk mendapatkan persetujuan Universiti Columbia, dan kini cuba diaplikasikan terhadap Universiti Harvard.
Perjanjian Columbia termasuk janji untuk mematuhi peraturan yang melarang pengambilan kira faktor kaum dalam proses kemasukan atau pengambilan kakitangan, selain beberapa syarat lain.
Protes pro-Palestin menggoncang puluhan kampus di AS pada 2024, dengan tindakan keras polis dan keganasan mob berlaku susulan kem penempatan pelajar - dari Columbia hingga UCLA - dengan Presiden AS ketika itu, Joe Biden, menegaskan bahawa “keamanan mesti ditegakkan.”
Sejak kembali ke White House, universiti-universiti menjadi sasaran Trump.
Gerakan Make America Great Again (MAGA) melihat institusi akademik sebagai elit, terlalu liberal dan bersikap bermusuhan terhadap fahaman etno-nasionalisme yang digemari penyokong Trump.
Tuntutan AS$1 bilion terhadap UCLA dibuat sehari selepas Gabenor California, Gavin Newsom - yang kerap bertelagah dengan Trump - menyatakan UC tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan Presiden.
“Ada yang betul dan ada yang salah dan kami akan lakukan perkara yang betul,” kata Newsom, yang juga ahli lembaga UC.
“Ini tentang daya saing kita. Ini tentang nasib dan masa depan negara. Ini tentang kedaulatan kita. Ini jauh lebih besar daripada emosi seorang individu yang kebetulan kini menjadi Presiden Amerika Syarikat,” katanya kepada media.
“Saya akan lakukan segala yang termampu untuk menggalakkan mereka berpegang pada prinsip, dan tidak menjadi satu lagi firma guaman yang tunduk, syarikat yang menjual jiwa, atau institusi yang memilih jalan mudah yang salah berbanding jalan sukar yang benar.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami