DUNIA

Pentagon beri amaran tarik balik akses media jika bocor maklumat tanpa kebenaran

Agensi 21/09/2025 | 01:50 MYT
Menurut Sean Parnell, garis panduan baharu itu hanya menegaskan semula piawaian yang sudah digunakan di semua pangkalan tentera lain di AS. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Pentagon memberi amaran kepada wartawan bahawa mereka berisiko hilang akses ke bangunan itu sekiranya mendedahkan maklumat tanpa kebenaran.

Langkah baharu itu merupakan sebahagian daripada sekatan tambahan yang turut mengehadkan pergerakan wartawan di dalam fasiliti yang kini dikenali sebagai Department of War (sebelum ini Department of Defense).

Peraturan itu dilaksanakan susulan beberapa kebocoran maklumat yang berlaku dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Setiausaha Perang, Pete Hegseth dalam satu kenyataan di media sosial menegaskan: “Media tidak mengawal Pentagon — rakyat yang mengawalnya. Media tidak lagi dibenarkan berkeliaran di dalam bangunan keselamatan ini. Pakai pas, ikut peraturan — atau pulang.”

Wartawan perlu tandatangan syarat baharu

Peraturan baharu itu dihuraikan dalam satu nota taklimat yang dihantar kepada pengamal media dan mereka diwajibkan menandatanganinya bagi mengekalkan pas media Pentagon.

Menurut jabatan itu, pihaknya masih komited terhadap ketelusan untuk memastikan akauntabiliti dan mengekalkan kepercayaan awam.

Namun, ia menegaskan, sebarang maklumat daripada Department of War mesti mendapat kelulusan rasmi sebelum disiarkan kepada umum, walaupun maklumat itu tidak diklasifikasikan.

Wartawan juga diminta mengakui bahawa status akreditasi media mereka boleh ditarik balik sekiranya berlaku percubaan atau tindakan membocorkan maklumat keselamatan negara yang diklasifikasikan atau yang ditanda sebagai maklumat terkawal.

Pertahan langkah keselamatan

Jurucakap utama Pentagon, Sean Parnell dalam kenyataan berasingan berkata, garis panduan baharu itu hanya menegaskan semula piawaian yang sudah digunakan di semua pangkalan tentera lain di AS.

“Ini adalah garis panduan asas dan berlandaskan logik untuk melindungi maklumat sensitif serta menjamin keselamatan negara dan semua yang bekerja di Pentagon,” katanya.

Kontroversi libatkan Hegseth

Hegseth sendiri sebelum ini pernah menerima kritikan kerana didakwa berkongsi maklumat sensitif mengenai serangan udara Amerika Syarikat (AS) di Yaman dalam satu perbualan kumpulan yang turut disertai seorang wartawan pada Mac lalu.

Kontroversi itu tercetus selepas bekas penasihat keselamatan negara, Michael Waltz - yang kini dilantik sebagai Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - secara tidak sengaja menjemput wartawan terbabit ke dalam kumpulan perbualan tersebut.

Sementara itu, pentadbiran Trump sebelum ini dilapor marah apabila laporan risikan yang dibocorkan pada Jun lalu bercanggah dengan kenyataan rasmi mengenai tahap kerosakan akibat serangan AS ke atas program nuklear Iran. - Agensi


#Pentagon #akses media #Department of War #Sean Parnell