Pentagon terima kunjungan PM Singapura

Astro Awani
Mac 29, 2022 03:08 MYT
Lloyd Austin menyambut ketibaan Lee Hsien Loong di Pentagon, Washington, 28 Mac 2022. (Foto AP)
SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin menerima kunjungan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ke Pentagon pada Isnin, bagi mengadakan rundingan dua hala.
Dalam pertemuan di Washington DC itu, Austin memuji kerjasama pertahanan antara Singapura dan Amerika Syarikat dan berterima kasih kepada Lee kerana republik itu menentang pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.
"Kami amat menghargai kenyataan dan tindakan tegas Singapura yang menentang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
"Putin memandang rendah keazaman dunia untuk mengenakan kos ke atas Rusia kerana pencerobohan tanpa provokasi yang dilakukannya.
"Penderitaan rakyat Ukraine sepatutnya mengingatkan kita semua tentang nyawa manusia yang terkorban akibat pencerobohan," kata Austin.
Sementara itu, Lee berkata, kehadiran Amerika di Asia Pasifik penting untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang berterusan di rantau Asia.
Singapura adalah rakan kerjasama keselamatan utama Amerika yang disahkan menerusi Akta Kebenaran Pertahanan Negara 2022, dalam menghadapi cabaran global yang sukar.
Dalam lawatan itu juga, Lee dijadual bertemu Presiden Joe Biden di White House.
#Lee Hsien Loong #Amerika Syarikat #Singapura #pertahanan