GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

Penubuhan negara Israel bercanggah ajaran Yahudi sejati, ini projek Zionis – Rabbi

Khalis Khadir 03/10/2025 | 23:20 MYT
Rabbi Weiss menegaskan, Israel menggunakan nama Yahudi serta simbol keagamaan untuk menutup penindasan terhadap rakyat Palestin. - Gambar Facebook Rabbi Yisroel Dovid Weiss
KUALA LUMPUR: Penubuhan negara Israel disifatkan bercanggah dengan ajaran sebenar agama Yahudi dan ia tidak mempunyai asas dalam Taurat, tegas Jurucakap Neturei Karta, Rabbi Yisroel Dovid Weiss.

Beliau menjelaskan, ajaran Judaism atau agama Yahudi sejati melarang penubuhan sebuah negara berasaskan bangsa atau agama sebelum ketibaan Messiah atau Al-Masih, iaitu penyelamat yang dijanjikan Tuhan.

“Menurut ajaran kami, selepas runtuhnya Baitulmaqdis (Second Temple) kira-kira 2,000 tahun lalu, orang Yahudi menerima bahawa mereka mesti hidup dalam buangan dan tidak dibenar mendirikan negara sendiri dengan kekuatan ketenteraan.

“Maka, Israel hari ini bukan ajaran Judaism, tetapi projek Zionisme moden yang bercanggah dengan Taurat,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Weiss menambah, Israel menggunakan nama Yahudi serta simbol keagamaan untuk menutup penindasan terhadap rakyat Palestin.

“Sama sekali palsu, menggunakan Bintang Daud dan nama Judaism sebagai topeng untuk melakukan kejahatan yang menentang Tuhan dan bercanggah dengan ajaran sebenar Taurat,” tegasnya.

Tegas beliau, rejim Israel telah mencemarkan ajaran Taurat yang menolak pembunuhan, penindasan dan penjajahan.

Katanya lagi, konflik yang berlaku hari ini bukan hanya soal berkisar tentang agama, tetapi berpunca daripada ideologi Zionisme yang menafikan hak rakyat Palestin.

“Sejarah membuktikan Yahudi dan Muslim pernah hidup bersama dengan aman di negara-negara Arab. Naratif bahawa orang Islam membenci Yahudi hanyalah propaganda Zionis,” jelas beliau.

Dalam masa sama, beliau turut mengutuk tindakan Israel terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Kekejaman ini tidak boleh diteruskan. Tindakan ini bersifat seperti kezaliman syaitan. Mereka sedang menunjukkan kepada dunia bahawa mereka benar-benar bersifat satanik. Kami sebagai Yahudi yang benar-benar taat kepada Taurat, memahami hal ini.

“Dunia sebelum ini tidak memahaminya. Kini dunia melihat apa yang sedang berlaku, ini bukan suci, bukan adil, tetapi tidak berperikemanusiaan, bertentangan dengan ajaran Tuhan. Ini bukan ajaran Yahudi, tetapi bersifat seperti syaitan, ini satanik,” ujarnya.

Rabbi Weiss turut menyeru masyarakat antarabangsa agar menghentikan kekejaman Israel terhadap Gaza, sebagaimana dunia menamatkan dasar apartheid di Afrika Selatan.

“Kami menangis bersama rakyat Gaza. Dunia mesti hentikan genosid ini segera. Biarkan Palestin bebas, hanya itu jalan menuju keamanan sejati,” tegasnya.













#Israel #Yahudi #Rabbi Weiss