INTERNATIONAL

Penumpang maut, pemandu lari selepas kereta rempuh pasar raya

Bernama 19/04/2025 | 23:45 MYT
Pihak berkuasa kini giat memburu pemandu terbabit. - Foto X/Hamburg News
BERLIN: Sebuah kereta merempuh sebuah pasar raya di Hamburg pada pagi Sabtu, mengakibatkan seorang penumpang maut manakala pemandu melarikan diri dari tempat kejadian, lapor Xinhua.

Menurut polis, sebuah unit rondaan cuba menahan sebuah kenderaan yang dipandu laju pada awal pagi, namun pemandunya enggan berhenti dan memecut menuju ke pusat bandar.

Tidak lama kemudian, polis menemui kenderaan itu yang telah terbabas dan merempuh bangunan pasar raya.

Pemandu terlibat melarikan diri dengan berjalan kaki, meninggalkan penumpang yang cedera parah di dalam kenderaan itu. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian walaupun usaha menyelamat telah dilakukan.

Pihak berkuasa kini giat memburu pemandu terbabit. Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kemalangan.

-- BERNAMA






#kereta rempuh #pasar raya #pandu laju #Nahas