Skip to main content
Advertisement

Dunia

Penumpang Ryanair hampir tercampak keluar pesawat selepas tingkap kabin tercabut

Sumber: REUTERS
Karovic, yang duduk di tempat duduk tepi tingkap, hampir tercampak keluar dari pesawat selepas tingkap kabin berhampirannya tercabut ketika penerbangan. - Foto REUTERS
Advertisement

THESSALONIKI: Seorang penumpang penerbangan Ryanair terselamat selepas hampir tercampak keluar dari pesawat apabila tingkap kabin di tempat duduknya tercabut ketika penerbangan dari Thessaloniki, Greece ke Jerman pada 10 Julai lalu.

Mangsa, Ljubisa Karovic, 61, dilaporkan sedang duduk di tempat duduk tepi tingkap ketika kejadian berlaku.

Karovic, yang duduk di tempat duduk tepi tingkap, hampir tercampak keluar dari pesawat selepas tingkap kabin berhampirannya tercabut ketika penerbangan.

Isterinya, Svetlana Maksimovic, yang turut berada dalam penerbangan tersebut, berkata kejadian itu berlaku beberapa minit selepas pesawat berlepas.

“Saya tidak pernah mendengar bunyi yang lebih kuat daripada itu sepanjang hidup saya. Kemudian saya menoleh dan melihat sebahagian badan suami saya sudah berada di luar tingkap,” katanya kepada Reuters.

Menurut beliau, kepala dan lengan kanan suaminya terkeluar daripada pesawat ketika kejadian berlaku.

Media Greece dan sumber lapangan terbang melaporkan bahawa kejadian itu dipercayai berpunca daripada serpihan enjin yang tercabut lalu menghentam tingkap pesawat, menyebabkan tekanan kabin menurun secara mendadak.

Dalam situasi cemas itu, seorang penumpang wanita yang duduk berhampiran mangsa cuba menarik lengan kirinya untuk menghalangnya daripada tercampak keluar.

Usaha itu akhirnya berjaya dengan bantuan seorang lagi penumpang yang membantu menarik Karovic kembali masuk ke dalam pesawat ketika juruterbang mula menurunkan altitud penerbangan.

Maksimovic berkata beliau meninggalkan tempat duduknya untuk membantu suaminya dan memasangkan topeng oksigen kepada mangsa, manakala seorang penumpang lain turut menghulurkan topeng oksigen kepadanya.

"Beliau mengalami kecederaan serius pada wajah serta beberapa bahagian kepala, termasuk telinga, mata dan hidung, selain mengalami pendarahan," katanya.

Karovic kini menerima rawatan di sebuah hospital di Thessaloniki akibat kecederaan serius pada bahagian leher dan lengan.

Pasangan itu telah melantik peguam bagi mewakili mereka susulan kejadian berkenaan.

Penasihat undang-undang mereka, Vassilis Tsiaras, menyifatkan insiden itu sebagai sangat serius dan berkata hasil siasatan rasmi akan menjadi faktor penting dalam menentukan tindakan selanjutnya.

Ryanair mengesahkan bahawa sebuah tingkap kabin tercabut ketika penerbangan tersebut, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan rasmi masih dijalankan.

Pengeluar pesawat Boeing pula memaklumkan pihaknya sedang memberikan kerjasama kepada siasatan yang diketuai oleh pihak berkuasa Macedonia Utara, iaitu ruang udara tempat kejadian berlaku.

Siasatan turut melibatkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB), Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), penyiasat kemalangan udara Greece serta pihak pendakwa raya negara itu.

Pihak berkuasa Greece menyifatkan kejadian tersebut sebagai insiden yang jarang berlaku dalam industri penerbangan.

Pesawat yang terlibat masih berada di Greece bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut.
 

 

Must Watch Video

Advertisement