JAKARTA: Penunjuk perasaan yang mendesak Rang Undang-Undang (RUU) Perampasan Aset Indonesia diluluskan segera mula bersurai dari kawasan luar Kompleks Parlimen di Jakarta Pusat kira-kira 8 malam Khamis selepas berhimpun sepanjang hari, dengan polis sebelum itu menggunakan meriam air untuk menyuraikan orang ramai.
Demonstrasi itu bermula pada sebelah pagi, dengan penunjuk perasaan mula berkumpul di luar Kompleks Parlimen seawal 7 pagi.
Kumpulan itu mengemukakan beberapa tuntutan, termasuk supaya RUU Perampasan Aset diluluskan segera dan hukuman mati dikenakan terhadap mereka yang disabitkan kesalahan rasuah.
Ketika perhimpunan berlangsung, pemimpin Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) menerima wakil Aliansi Masyarakat Pati Bersatu (AMPB), satu daripada kumpulan yang menyertai perhimpunan itu, dan berjanji meluluskan RUU berkenaan selewat-lewatnya 15 Dis, dengan Timbalan Speaker DPR Sufmi Dasco Ahmad berkata beliau bersedia meletakkan jawatan sekiranya tarikh akhir itu tidak dipenuhi, menurut Agensi Berita Antara.
Menurut laman sesawang rasmi DPR, usaha memperkenalkan RUU itu bermula pada 2009, dengan draf pertamanya disiapkan pada 2012, manakala perbahasan rasmi di Parlimen hanya bermula pada Januari tahun ini.
Polis mula menyuraikan orang ramai secara paksa sejurus sebelum 7 malam dengan menyembur air dari dalam Kompleks Parlimen.
Polis Metropolitan Jakarta dalam satu kenyataan memaklumkan 65 individu ditahan dalam operasi pencegahan menjelang demonstrasi itu, manakala 39 senjata tajam, dua senjata airsoft, tujuh bekas berisi petrol dan 201 botol kaca bersumbu dirampas.
Pihak berkuasa turut menyiasat mereka yang terlibat dalam persiapan berkenaan, termasuk kemungkinan peranan masing-masing dalam perekrutan, pembiayaan, penyediaan peralatan dan pengurusan orang ramai.
Seramai 18,504 anggota keselamatan dikerahkan di beberapa lokasi sekitar Jakarta Pusat bagi memastikan keselamatan sepanjang demonstrasi itu, termasuk di sekitar Kompleks Parlimen, Palmerah, Bulatan Hotel Indonesia dan Dukuh Atas, dengan lencongan trafik dilaksanakan mengikut keadaan di lokasi.
-- BERNAMA