Skip to main content

Dunia

Penutupan Gunung Bromo dilanjutkan hingga 15 Ogos

Pasukan kecemasan bersama menjalankan operasi pemadaman kebakaran darat menggunakan pemukul api dan penyembur galas di Daerah Sukapura, Kabupaten Probolinggo, Jawa Timur, pada Rabu.
BBTNBTS memaklumkan penutupan itu dilanjutkan berikutan keadaan semasa di lokasi berkenaan yang masih memerlukan operasi tindak balas diteruskan. - Gambar fail/BPBD Wilayah Jawa Timur
Advertisement

JAKARTA: Penutupan kawasan pelancongan Gunung Bromo di Jawa Timur dilanjutkan hingga 15 Ogos ketika pihak berkuasa meneruskan operasi memadam kebakaran hutan dan tanah di kawasan itu.

Pihak Berkuasa Taman Negara Bromo Tengger Semeru (BBTNBTS) memaklumkan penutupan itu dilanjutkan berikutan keadaan semasa di lokasi berkenaan yang masih memerlukan operasi tindak balas diteruskan.

"Pengunjung yang terjejas boleh memohon bayaran balik atau menjadualkan semula tiket mengikut terma dan syarat yang ditetapkan. Maklumat mengenai pembukaan semula kawasan itu akan diumumkan menerusi saluran rasmi BBTNBTS," menurut kenyataan di media sosialnya pada Selasa.

Sementara itu, Komander Sektor Operasi Kebakaran Hutan dan Tanah Gunung Bromo Kolonel Wahyu Ramadhanus Suryawan berkata kebakaran di kawasan Gunung Bromo telah merebak ke kawasan dianggarkan seluas 899.35 hektar sejak bermula pada 3 Ogos.

"Hari ini, kami mengoptimumkan penggunaan dua helikopter bagi operasi pengeboman air berbanding tiga sebelum ini, selaras dengan perubahan keadaan cuaca dan tahap penglihatan juruterbang di lapangan. Keutamaan kami adalah memutuskan laluan api bagi menghalangnya daripada merebak ke kawasan tumbuhan baharu," katanya seperti dipetik Agensi Berita Antara.

Wahyu berkata penilaian awal menunjukkan faktor semula jadi berkemungkinan bukan punca kebakaran kerana kawasan Bromo masih mempunyai tahap kelembapan tertentu walaupun ketika musim kemarau.

Pihak berkuasa turut menyediakan langkah susulan bagi mengelakkan kebakaran berulang, termasuk mengadakan rondaan bersama secara berkala, menempatkan anggota di lokasi yang dikenal pasti serta menyelaras penyampaian maklumat kepada orang ramai.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement