DUNIA

Penutupan kerajaan Amerika Syarikat: Beberapa negara Eropah tanggung kos kakitangan AS

Bernama 10/11/2025 | 08:45 MYT
Penutupan kerajaan seperti ini di AS bermaksud pemberhentian operasi beberapa agensi kerajaan yang dibiayai secara langsung oleh Kongres disebabkan ketiadaan kelulusan belanjawan bagi tahun fiskal berikutnya. - Gambar/ Reuters
MOSCOW: Beberapa negara Eropah buat sementara waktu menanggung kos penyelenggaraan kakitangan di pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) yang mereka hoskan, selepas pekerja terbabit tidak menerima gaji susulan penutupan kerajaan AS yang sedang berkuat kuasa, menurut Associated Press seperti dipetik Sputnik/RIA Novosti.

Laporan itu menyatakan bahawa di Jerman, Poland, Lithuania dan Greenland, pihak berkuasa tempatan telah menanggung kos sokongan kepada kakitangan berkenaan dengan jangkaan akan menerima bayaran balik daripada Washington, manakala mereka yang bekerja di Itali dan Portugal terus berkhidmat tanpa menerima gaji.

Terdahulu, portal Axios melaporkan bahawa parti Demokrat di Senat AS menunjukkan kesediaan untuk meluluskan pakej rang undang-undang yang boleh menamatkan penutupan kerajaan itu. Kemudian, pengasas portal Punchbowl, Jake Sherman melaporkan bahawa Rumah Putih menyokong rancangan untuk membiayai kerajaan AS di Dewan Senat.

Tahun fiskal baharu di AS bermula pada 1 Okt, namun Kongres gagal mencapai kata sepakat mengenai belanjawan, menyebabkan kerajaan kini tidak dapat berfungsi.

Penutupan kerajaan seperti ini di AS bermaksud pemberhentian operasi beberapa agensi kerajaan yang dibiayai secara langsung oleh Kongres disebabkan ketiadaan kelulusan belanjawan bagi tahun fiskal berikutnya - sesuatu yang bukan luar biasa di negara itu.

-- BERNAMA


#Amerika Syarikat #penutupan kerajaan #negara Eropah #bayaran gaji