GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

Penutupan kerajaan AS paksa acara bunga api Yokosuka dibatalkan

Bernama 03/10/2025 | 05:45 MYT
Pangkalan Tentera Laut AS memaklumkan 'Yokosuka Friendship Day' pada Ahad dibatalkan selepas beberapa agensi kerajaan AS ditutup. - Foto Facebook Commander Fleet Activities Yokosuka
YOKOSUKA (Jepun): Kesan daripada penutupan kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang bermula minggu ini turut dirasai di rantau Pasifik apabila Yokosuka, sebuah bandar berhampiran Tokyo yang menempatkan Armada Ketujuh AS, terpaksa membatalkan acara bunga api yang dijadual hujung minggu ini, lapor Kyodo News.

Kerajaan perbandaran itu pada Khamis berkata ia tidak lagi dapat menyediakan ruang penonton untuk pertunjukan bunga api itu kerana acara berkaitan "open base" di pangkalan Yokosuka dibatalkan susulan penutupan kerajaan AS.

Pangkalan Tentera Laut AS itu menjadi antara lokasi orang awam menyaksikan pertunjukan bunga api tahunan sejak sekian lama. Pihak berkuasa tempatan berkenaan menjangkakan separuh daripada kira-kira 190,000 penonton yang disasarkan tahun ini akan menonton acara itu dari pangkalan berkenaan.

Namun, pihak Pangkalan Tentera Laut AS itu memaklumkan bahawa "Yokosuka Friendship Day" pada Ahad dibatalkan selepas beberapa agensi kerajaan AS ditutup sebahagiannya berikutan kegagalan meluluskan dana pada akhir September.

Kerajaan perbandaran telah mencari lokasi alternatif untuk ruang penonton, tetapi selepas gagal menemuinya, ia memutuskan acara itu tidak dapat diadakan demi menjamin keselamatan penonton, menurut pihak berkuasa bandar raya.

Di Okinawa, acara Kor Marin AS yang dinamakan Futenma Flight Line Fair turut dibatalkan. Acara itu dijadual berlangsung di Pangkalan Udara Futenma pada Sabtu dan Ahad.

-- BERNAMA

#pertunjukan bunga api #penutupan kerajaan AS #Yokosuka #Pangkalan Tentera Laut AS