Skip to main content

Dunia

Penutupan sebahagian kerajaan AS jadi yang paling lama dalam sejarah

A U.S. Immigration and Customs Enforcement (ICE) agent patrols a TSA security checkpoint in Baltimore/Washington International Thurgood Marshall Airport (BWI) in Baltimore, Maryland, U.S., March 29, 2026. REUTERS/Aaron Schwartz
Seorang ejen ICE meronda di pusat pemeriksaan keselamatan TSA di Lapangan Terbang Antarabangsa Baltimore/Washington Thurgood Marshall (BWI), di Baltimore, Maryland. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Penutupan sebahagian kerajaan Amerika Syarikat (AS) kini menjadi yang paling lama dalam sejarah negara itu ketika ahli perundangan di Washington terus buntu mencapai persetujuan mengenai pembiayaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).

Pada Ahad, penutupan tersebut memasuki hari ke‑44, mengatasi rekod terdahulu bagi tempoh pembiayaan tergendala paling lama yang berakhir pada November 2025.

Advertisement

Kebuntuan politik itu telah mencetuskan kekecohan di lapangan terbang di seluruh negara berikutan kekurangan pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) di pusat pemeriksaan keselamatan, selepas ramai terpaksa bekerja tanpa menerima gaji.

Ketua hal ehwal sempadan White House, Tom Homan, pada Ahad berkata pegawai TSA dijangka mula menerima bayaran gaji seawal minggu hadapan selepas Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif bagi membebaskan dana sementara.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada perintah eksekutif itu akan berdepan cabaran undang-undang, memandangkan Perlembagaan Amerika Syarikat menetapkan bahawa kuasa meluluskan perbelanjaan persekutuan terletak pada Kongres.

Dalam temu bual bersama CBS, Homan berkata ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) yang kini ditempatkan di lapangan terbang bagi membantu mengurangkan gangguan perjalanan akan terus berada di situ walaupun penutupan berakhir dan pembiayaan TSA dipulihkan.

“Kami akan mengekalkan kehadiran yang wajar sehingga lapangan terbang merasakan operasi benar-benar kembali stabil,” katanya sambil menjelaskan tempoh itu bergantung kepada berapa ramai pegawai TSA yang kembali bekerja selepas menerima gaji.

“Kami perlu memastikan lapangan terbang selamat. ICE berada di sana untuk membantu rakan-rakan kami di TSA,” katanya lagi.

Namun, setakat ini tiada tanda penyelesaian segera terhadap pertikaian antara Parti Republikan dan Demokrat mengenai pembiayaan DHS, yang merangkumi TSA, agensi imigresen serta agensi utama pengurusan bencana.

Kongres kini bercuti selama dua minggu tanpa mencapai sebarang persetujuan.

Pada Jumaat lalu, ahli perundangan gagal meluluskan perjanjian bagi membuka semula DHS, yang telah ditutup sejak 14 Februari.

Dewan Senat sebelum ini meluluskan satu kompromi untuk membiayai sebahagian DHS bagi mengurangkan kelewatan di lapangan terbang, namun Republikan di Dewan Perwakilan menolaknya dan sebaliknya meluluskan langkah jangka pendek untuk membiayai keseluruhan jabatan berkenaan.

Langkah itu dijangka tidak akan mendapat sokongan Senat, memandangkan Demokrat membantah pembiayaan DHS tanpa pembaharuan, termasuk larangan pemakaian topeng oleh ejen ICE dan amalan profil perkauman.

Republikan pula menegaskan mereka tidak akan menyokong sebarang undang-undang tanpa peruntukan bagi penguatkuasaan imigresen dan syarat pengenalan pengundi.

Kebuntuan itu telah menyebabkan pegawai TSA berada dalam keadaan tidak menentu, dengan sebahagian meletak jawatan dan sebahagian lagi tidak hadir bekerja kerana tidak menerima gaji.

DHS memaklumkan kira-kira 500 pegawai telah berhenti setakat ini.

Akibatnya, barisan panjang dan kelewatan serius dilaporkan di lapangan terbang, dengan video penumpang beratur berjam-jam tular di media sosial, mencetuskan kebimbangan terhadap keupayaan Amerika Syarikat menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia bermula Jun depan.

Pada Jumaat sahaja, lebih 3,560 pegawai TSA dilaporkan tidak hadir bekerja, mewakili sekitar 12.35 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja agensi tersebut, menurut DHS.
 

 

Must Watch Video