[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
DUNIA

Penutupan Selat Hormuz berpotensi jejas hubungan Iran dan negara serantau

Madiha Abdullah 23/06/2025 | 21:30 MYT
Penutupan Selat Hormuz berpotensi menyebabkan ketegangan serantau terutama dengan negara seperti Kuwait, Arab Saudi dan UAE.
KUALA LUMPUR: Penutupan Selat Hormuz tidak dijangka memberi tekanan besar terhadap Israel mahupun Amerika Syarikat (AS).
Sebaliknya, Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Prof Madya Dr Abu Hanifah Haris berkata, negara yang akan paling terkesan dengan kemungkinan penutupan Selat Hormuz adalah negara jiran seperti Kuwait, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang sangat bergantung kepada laluan tersebut untuk eksport minyak mereka.
Ini sekali gus berpotensi menyebabkan ketegangan serantau.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, kesan penutupan itu tidak menyeluruh kerana sebahagian laluan Selat Hormuz berada dalam perairan Oman, yang diketahui bersikap pro Iran.
"Tetapi dalam konteks ini, kita kena faham bahawa ramai mengatakan penutupan Selat Hormuz tidak akan memberi kesan sepenuhnya. Ini kerana kita tahu bahawa sebahagian daripada Selat Hormuz terletak di wilayah Oman, dan Oman diketahui sangat pro-Iran. Jadi, walaupun Selat Hormuz ditutup, kapal-kapal masih boleh melalui kawasan Oman," katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI.
AS, yang kini merupakan salah satu pengeluar minyak utama dunia, tidak lagi menjadikan Asia Barat sebagai sumber utama bekalan minyaknya. Dalam masa yang sama, Israel pula memperoleh sumber minyak bukan dari rantau Teluk, tetapi dari Asia Tengah dan Afrika.
Sementara itu, penganalisis Hubungan Antarabangsa Binus University, Prof Madya Dr Lili Yulyadi Arnakim melihat Iran tidak akan bertindak sewenang-wenangnya menyerang negara Asia Barat yang menjadi rakan kongsi atau mempunyai kepentingan strategik dengan AS kerana fokus utama Tehran adalah Israel.
“Kalau Israel dibiarkan bersendirian tanpa sekutu, mereka tidak akan mampu bertahan lama,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa ketegangan yang berlaku ketika ini lebih tertumpu kepada Israel sahaja dan tidak semestinya akan menjejaskan kepentingan AS di Asia Barat, melainkan konflik terus berkembang menjadi perang besar-besaran.
“Saya lihat ini hanya terbatas kepada Israel saja dan tidak akan mengganggu kepentingan AS di Asia Barat, kecuali jika perang ini bereskalasi dan bantuan AS menjadi tidak terbatas. Tapi AS pun perlu berfikir dua kali kerana mereka sendiri sedang berdepan tekanan ekonomi yang ketara,” tambahnya.
#Amerika Syarikat #Iran #Israel #Selat Hormuz #perdagangan