Penyebaran imej tahanan Gaza “sangat mengganggu” - Amerika Syarikat

Agensi
Disember 12, 2023 00:00 MYT
Sejumlah lelaki Palestin tidak berpakaian dibawa oleh tentera Israel menaiki trak untuk dibawa ke pusat tahanan. Penyebaran gambar itu disifatkan Amerika Syarikat sebagai "sangat mengganggu." - Gambar REUTERS
JURUCAKAP Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matthew Miller menegaskan, penyebaran gambar sejumlah tahanan lelaki Palestin yang hanya mengenakan seluar dalam dan menyerahkan senjata secara sukarela “sangat menganggu.”
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, sejumlah pejuang Hamas “menyerahkan senjata dan diri mereka” kepada tentera zionis itu.
Beberapa gambar tahanan Palestin yang didakwa menyerahkan senjata kepada tentera Israel di Semenanjung Gaza itu mencetus spekulasi apakah yang sebenarnya terjadi dan kenapa proses itu dirakamkan.
Tegas Miller: “Kami dapati imej-imej berkenaan sangat mengganggu. Dan kami sedang berusaha mendapatkan penjelasan mengenai kesahihan gambar-gambar berkenaan dan tentu sekali apa yang paling utama ialah kenapa mereka ditonjolkan kepada umum?”
Minggu lalu, jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Jonathan Conricus dalam dakwaannya kepada CNN berkata, kesemua lelaki Palestin yang ditahan itu disyaki terdiri daripada pejuang Hamas.
“Mereka semua dibiarkan tidak berpakaian untuk memastikan mereka tidak membawa sebarang bahan letupan,” kata Conricus. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #imej tahanan Gaza #pakai seluar dalam #israel serang gaza