MALE, MALDIVES: Seorang penyelam penyelamat di Maldives yang terlibat dalam operasi mencari empat warga Itali yang lemas dalam insiden menyelam paling buruk di destinasi pelancongan itu, dilaporkan maut, menurut pihak berkuasa pada Sabtu.
Pasukan daripada Pasukan Pertahanan Kebangsaan Maldives (MNDF) kini memasuki hari ketiga operasi mencari mangsa yang gagal kembali selepas menjalankan aktiviti menyelam pada Khamis lalu.
Sehingga kini, satu mayat daripada kumpulan lima individu tersebut telah ditemukan pada hari kejadian.
Operasi mencari diteruskan walaupun berdepan keadaan cuaca buruk.
Menurut MNDF dalam satu kenyataan, Staf Sarjan Mohamed Mahudhy dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal selepas timbul ke permukaan ketika menyertai operasi mencari, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Dalam perkembangan berasingan, pihak berkuasa Maldives pada Sabtu menggantung lesen operasi sebuah kapal mewah yang digunakan kumpulan mangsa bagi aktiviti menyelam.
Universiti Genoa mengesahkan mangsa terdiri daripada seorang profesor biologi marin, anak perempuannya serta dua penyelidik muda.
Jurucakap kerajaan, Mohamed Hussain Shareef berkata, siasatan telah dilancarkan bagi mengenal pasti punca kumpulan tersebut menyelam melebihi had kedalaman yang dibenarkan iaitu 30 meter.
Mayat seorang penyelam, yang identitinya belum didedahkan kepada umum, ditemukan di dalam sebuah gua pada kedalaman 60 meter.
Kementerian Pelancongan dan Penerbangan Awam Maldives dalam kenyataannya memaklumkan, lesen operasi kapal selam inap (liveaboard) MV Duke of York digantung tanpa tempoh sehingga siasatan selesai.
Kapal mewah sepanjang 36 meter itu mampu menampung sehingga 25 tetamu.
Kementerian Luar Itali sebelum ini mengesahkan kesemua lima rakyatnya yang terlibat dalam insiden tersebut telah maut.
Maldives, sebuah negara kepulauan rendah yang terdiri daripada 1,192 pulau karang kecil merentasi kira-kira 800 kilometer di Lautan Hindi, terkenal sebagai destinasi pelancongan mewah dan popular dalam kalangan penyelam.
Walaupun kemalangan berkaitan aktiviti menyelam dan sukan air jarang berlaku di negara Asia Selatan itu, beberapa insiden maut pernah dilaporkan sejak kebelakangan ini. - Agensi