DUNIA

Penyelam teknikal masuki feri karam di selatan Filipina, angka kematian meningkat kepada 45

Bernama 04/02/2026 | 22:00 MYT
Dua mayat yang ditemukan pada Rabu dikeluarkan oleh penyelam dari bahagian rel feri, menurut PCG. - Foto X/Philippine Coast Guard
MANILA: Pengawal Pantai Filipina (PCG) mengerahkan penyelam teknikal bangkai kapal untuk melakukan pencarian di dalam feri yang karam di perairan luar Wilayah Basilan, selatan Filipina, ketika angka kematian disahkan meningkat kepada 45 orang, menurut pegawai pada Rabu, lapor Xinhua.

Feri M/V Trisha Kerstin 3 karam pada 26 Januari ketika dalam pelayaran dari Zamboanga City ke Jolo di Wilayah Sulu. Pada Selasa, PCG mengesahkan lokasi feri itu semasa operasi selaman di perairan luar Pulau Baluk-Baluk.

PCG memaklumkan bahawa penyelam teknikalnya berjaya memasuki feri yang karam sebagai sebahagian daripada penilaian bawah air dan operasi pemulihan yang sedang dijalankan bagi mengesan mayat yang mungkin terperangkap di dalam kapal.

Dua mayat yang ditemukan pada Rabu dikeluarkan oleh penyelam dari bahagian rel feri, menurut PCG.

Menurut PCG, pihaknya masih menentukan jumlah sebenar individu yang masih hilang, ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan.

Setakat ini, 316 orang yang menaiki feri dilaporkan selamat, menurut PCG.

--BERNAMA-XINHUA






#feri karam #angka korban #Penyelam #PCG