DUNIA

Penyelesaian saman TikTok isyarat elak pendedahan maklumat - Pakar privasi data

Agensi 28/01/2026 | 00:10 MYT
Walke mendedahkan, persetujuan TikTok menyelesaikan saman berkaitan ketagihan media sosial memperlihatkan syarikat itu berkemungkinan mahu mengelakkan pendedahan maklumat tertentu ketika perbicaraan. - Gambar hiasan/REUTERS
OKLAHOMA: Pakar privasi data, Collin Walke mendedahkan, persetujuan TikTok menyelesaikan saman berkaitan ketagihan media sosial memperlihatkan syarikat itu berkemungkinan mahu mengelakkan pendedahan maklumat tertentu ketika perbicaraan

Walke yang juga rakan kongsi serta ketua amalan keselamatan siber dan privasi data di firma guaman Hall Estill berkata walaupun penyelesaian luar mahkamah tidak membawa maksud pengakuan bersalah, ia menggambarkan keengganan syarikat itu untuk dinilai berdasarkan merit kes sekiranya dibicarakan.

“Penyelesaian tidak semestinya menunjukkan kesalahan. Namun, ia jelas menunjukkan TikTok tidak mahu maklumat tertentu diketengahkan di mahkamah dan dinilai secara terbuka,” katanya.

Kes tersebut melibatkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dari California, dikenali sebagai K.G.M., yang mendakwa dirinya menjadi ketagih media sosial sejak kecil akibat reka bentuk aplikasi yang memanipulasi perhatian pengguna.

Menurut dokumen mahkamah, beliau menyalahkan platform-platform berkenaan atas kemurungan serta pemikiran untuk membunuh diri dan mahu syarikat teknologi dipertanggungjawabkan.

Saman itu menamakan YouTube, Meta, Snap dan TikTok sebagai defendan, dengan Snap menyelesaikan kes berkenaan pada 20 Januari lalu.

Walke berkata tindakan TikTok dan Snap menyelesaikan saman tersebut memberi tekanan tambahan kepada defendan lain.

“Ia memberi tekanan besar kerana tuduhan yang dibawa adalah sama terhadap semua syarikat teknologi. Jika Meta tewas dalam perbicaraan ini, ia boleh membuka ruang kepada lebih banyak saman pada masa hadapan terhadap syarikat teknologi lain, dengan keputusan ini dijadikan preseden,” katanya.

Saman itu merupakan yang pertama daripada beberapa kes berkaitan apa yang didakwa plaintif sebagai “ketagihan media sosial” dalam kalangan kanak-kanak yang dijadualkan dibicarakan tahun ini.

Menurut peguam plaintif, Matthew Bergman, perbicaraan berkenaan akan menjadi kali pertama gergasi teknologi perlu mempertahankan produk mereka di mahkamah susulan dakwaan ia menyebabkan mudarat kepada pengguna muda.





#keselamatan siber #TikTok #Collin Walke #saman