STOCKHOLM: Hadiah Nobel dalam bidang ekonomi dianugerahkan kepada penyelidik Amerika Syarikat (AS), Robert E Hall dan Michael Woodford atas usaha mereka mengenai kestabilan makroekonomi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Hasil kerja oleh Hall yang berkhidmat di Stanford University, dan Woodford di Columbia University, telah membawa kepada pemahaman lebih mendalam mengenai sejauh mana keseluruhan isi rumah dan perniagaan mempengaruhi ekonomi menerusi tindakan mereka, menurut Akademi Sains Diraja Sweden pada Isnin.
"Usaha pemenang anugerah berkenaan telah menyediakan asas teori yang kukuh bagi model yang kini digunakan oleh bank pusat dan kerajaan di seluruh dunia," kata John Hassler, Pengerusi Jawatankuasa Hadiah Sains Ekonomi.
Menerusi model itu, dunia "lebih bersedia untuk menangani kejutan dalam ekonomi, seperti krisis tenaga atau perubahan mendadak dalam jumlah penggunaan isi rumah", katanya.
Berdasarkan penyelidikan Hall dan Woodford, "langkah dasar fiskal dan monetari yang tepat pada waktunya dapat mengurangkan pasang surut ekonomi", menurut jawatankuasa Nobel itu.
-- BERNAMA-dpa