Penyembelih komunis terkenal Indonesia Anwar Congo meninggal dunia

Firdaus Azil
Oktober 28, 2019 02:52 MYT
Sepanjang tempoh keganasan itu, lebih kurang 500,000 individu terkorban dengan cara yang cukup kejam di tangan penyembelih, termasuk dalang utamanya, Anwar.
DALANG utama di sebalik pembunuhan lebih 1,000 individu dipercayai ahli dan tali barut Parti Komunis Indonesia (PKI) pada era 60an, Anwar Congo, meninggal dunia di Hospital Besar Madani, Medan, pada Jumaat.
Anwar, 78, yang dikenal pasti sebagai ahli seumur hidup Pemuda Pancasila (PP), sebelum ini menderita akibat sakit saraf, menurut isterinya Salma Miftah Salim, seperti dilaporkan portal berita The Jakarta Post.
Individu itu mula menjadi tumpuan antarabangsa sekitar tahun 2012, selepas muncul dalam sebuah dokumentari bertajuk ‘The Act of Killing’, arahan Joshua Oppenheimer, yang mengisahkan kekejaman sebuah gerakan di Indonesia dalam cubaan menghapuskan pengaruh komunis di negara itu.
BACA: The Act of Killing buka sejarah pedih Indonesia
Anwar dalam dokumentari itu tidak menyembunyikan hakikat bahawa dia pernah membunuh dengan tangannya sendiri sekitar 1,000 orang yang didakwa sebagai tali barut komunis di Indonesia pada 1960-an; malah dia turut bermegah-megah tentang cara bagaimana dia membunuh mereka.
Dia mendedahkan bagaimana bongkah kayu digunakan untuk memecahkan tengkorak mangsanya; menyembelih sesetengahnya dengan parang atau melilitkan dawai besi pada tengkuk, yang katanya menghapuskan mereka dengan lebih cepat dan berkesan.
Dalam dokumentari itu, Oppenheimer berkata mereka yang terlibat jadi pembunuh dalam tindak balas kepada rampasan kuasa tentera yang gagal pada akhir 1965 itu tidak menunjukkan sedikit pun kekesalan.
"Apa yang saya harap -- sekiranya ada tuah filem ini menang Anugerah Akademi -- ia akan menggalakkan rakyat Indonesia mempertanggungjawabkan pemimpin mereka atas jenayah ini," katanya lagi.
Sepanjang tempoh keganasan itu, lebih kurang 500,000 individu terkorban dengan cara yang cukup kejam di tangan penyembelih, termasuk dalang utamanya, Anwar.
Menurut Komisi Nasional Hak Asasi Manusia, dalam tempoh itu juga, lebih satu juta individu turut menjadi mangsa ketidakadilan perundangan, pemenjaraan dan pengasingan.
#Anwar Congo #Hospital Besar Madani #komunis #Parti Komunis Indonesia #Pemuda Pancasila #pengaruh komunis #PKI #Salma Miftah Salim