DUNIA

Penyerang masjid New Zealand mulakan usaha rayu sabitan kes

Bernama 09/02/2026 | 08:45 MYT
Tarrant sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan dibebaskan. - Gambar fail/Reuters
WELLINGTON: Lelaki yang bertanggungjawab terhadap serangan maut di masjid di New Zealand pada 2019 memberitahu mahkamah pada Isnin yang keadaan penjara memaksanya mengaku bersalah, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Brenton Tarrant mengaku bersalah pada Mac 2020 atas 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh serta satu pertuduhan melakukan serangan pengganas.

Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan dibebaskan.

Pendengaran Mahkamah Rayuan selama lima hari bermula di Wellington, iaitu Tarrant memohon kebenaran untuk merayu pengakuan bersalah serta hukumannya.

Tarrant berkata dia tidak berfikir secara rasional ketika membuat pengakuan bersalah, menurut laporan media tempatan di mahkamah.

"Saya akan mengatakan ia adalah keputusan yang didorong oleh keadaan. Ia adalah keputusan yang saya buat secara tidak rasional," katanya.

Menurut dokumen mahkamah, pendengaran itu meneliti permohonan untuk membatalkan pengakuan bersalahnya.

"Isu utama di hadapan Mahkamah ialah sama ada pada masa Tarrant membuat pengakuan bersalah dan dia tidak mampu membuat keputusan secara rasional akibat keadaan pemenjaraannya, yang didakwanya bersifat menyeksa dan tidak berperikemanusiaan," menurut dokumen itu.

Kebiasaannya, rayuan perlu difailkan dalam tempoh 20 hari bekerja selepas sabitan. Bagaimanapun, rayuan Tarrant difailkan lewat pada 2022.

Jika Mahkamah membenarkan permohonannya, Tarrant akan berdepan perbicaraan semula. Jika ditolak, satu pendengaran akan diadakan lewat tahun ini bagi mempertimbang rayuan terhadap hukuman.

Serangan ke atas Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch itu dirakam oleh penyerang dan disiarkan secara langsung di media sosial.

Kawalan keselamatan yang ketat dan perintah sekatan maklumat dikuatkuasakan sepanjang pendengaran itu, termasuk larangan kekal terhadap pendedahan nama barisan peguam Tarrant.

-- BERNAMA








#penyerang masjid #New Zealand #Brenton Tarrant #proses rayuan