AS: Penyerang sekolah Kristian Nashville dikenal pasti sebagai Audrey Hale

Bernama
Mac 28, 2023 02:20 MYT
Gambar yang diedarkan Jabatan Polis Metropolitan Nashville menunjukkan senjata yang dikatakan digunakan di The Covenant School oleh suspek, di Nashville, Tennessee, AS, 27 Mac 2023. REUTERS
WASHINGTON: Penjenayah dalam kes tembak di sebuah sekolah swasta di Tennessee Amerika Syarikat dikenali sebagai Audrey Hale, 28, kata Ketua Polis Nashville John Drake dalam sidang media.
Hale dikenal pasti sebagai lelaki transgender dan dipercayai pernah bersekolah di sekolah Kristian itu, kata Drake.
Insiden tembakan pada Isnin menyebabkan enam orang terbunuh termasuk tiga kanak-kanak berumur bawah 10 tahun.
Seorang daripada mangsa, Katherine Koonce, merupakan Pengetua Sekolah berkenaan, lapor Sputnik.
Suspek dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu hasil tindakan pantas polis.
Polis sedang menjalankan siasatan di kediaman yang dikaitkan dengan Hale, di mana mereka menemui manifesto dan peta sekolah itu, kata Drake.
Presiden AS Joe Biden telah diberi taklimat mengenai insiden itu, kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karine Jean-Pierre pada Isnin.
Biden dalam ucapannya memuji tindak balas pantas penguatkuasa undang-undang dan menyeru negara itu mengambil langkah menghentikan keganasan senjata api.
--BERNAMA-SPUTNIK
#tembakan #sekolah swasta Amerika Syarikat #lelaki transgender #sekolah Kristian Nashville