INTERNATIONAL

Penyertaan Timor Leste tidak jejas pertumbuhan ekonomi ASEAN

Farhan Hakimi 25/05/2025 | 12:16 MYT
Tahap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Timor Leste adalah setanding dengan beberapa negara anggota ASEAN lain. - Wikipedia
KUALA LUMPUR : Penyertaan Timor Leste dalam ASEAN tidak berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi rantau itu meskipun negara tersebut masih berada pada tahap pembangunan yang sederhana.

Menurut Profesor Hubungan Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Khoo Ying Hooi ini kerana tahap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Timor Leste adalah setanding dengan beberapa negara anggota ASEAN lain.

“Kalau kita lihat negara anggota seperti Myanmar dan Laos, KDNK mereka sebenarnya lebih kurang sama (dengan Timor Leste).

“Malah, dari segi taraf ekonomi, Timor Leste berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding Myanmar, yang kini bergelut dengan ketidaktentuan politik,” katanya dalam Fokus Minggu Depan terbitan Astro AWANI pada Ahad.

Untuk rekod, Timor-Leste telah mengemukakan permohonan untuk menyertai ASEAN sejak 2011, dan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 pada November 2022, ASEAN telah bersetuju secara prinsip untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11, tertakluk kepada pematuhan kriteria dalam Hala Tuju Keanggotaan Penuh.

Hala tuju itu merangkumi tiga pelan kerja yang memberi tumpuan kepada isu politik dan keselamatan, kerjasama ekonomi serta hubungan sosial dan budaya, yang semuanya perlu dilaksanakan oleh Timor-Leste sebelum diterima secara rasmi.

Dalam perkembangan terbaharu, Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Ahad mengulangi sokongan jitu terhadap usaha Timor-Leste menjadi anggota penuh blok serantau itu, sambil mengiktiraf kemajuan ketara negara tersebut dalam melaksanakan Pelan Tindakan ASEAN.

Negara anggota ASEAN ketika ini terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.




#Timor Leste #ASEAN #KDNK #ekonomi #universiti malaya #ASEAN2025 #ASEAN25