DUNIA

Penyiasat paranormal meninggal dunia secara mengejut ketika bertugas bersama anak patung Annabelle

Astro Awani 17/07/2025 | 02:10 MYT
Rivera, seorang veteran tentera AS, telah menjadi wajah utama dalam jelajah Annabelle yang membawa anak patung Raggedy Ann itu ke seluruh negara. - Foto X/@creepydotorg
PENNSYLVANIA: Dunia paranormal dikejutkan dengan kematian mengejut Dan Rivera, penyiasat utama dan penjaga rasmi anak patung terkenal Annabelle, yang dikatakan diselubungi sumpahan dan menjadi inspirasi kepada francais filem The Conjuring.


Ringkasan AI
  • Dan Rivera, penjaga rasmi anak patung Annabelle, meninggal dunia secara tiba-tiba semasa jelajah paranormal di Gettysburg; tiada unsur mencurigakan ditemui.
  • Rivera dikenali sebagai wajah utama jelajah Annabelle dan penerus teknik perlindungan rohani daripada Lorraine Warren; patung tersebut disimpan di muzium okultisme Connecticut.
  • Kematian Rivera mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat paranormal, dan NESPR belum mengesahkan sama ada jelajah Annabelle akan diteruskan.


Rivera, 54, meninggal dunia secara tiba-tiba pada Ahad lalu ketika berada di Gettysburg bagi jelajah “Devils on the Run” anjuran New England Society for Psychic Research (NESPR).

Menurut NESPR, Rivera ditemui tidak sedarkan diri di bilik hotelnya dan pasukan perubatan dipanggil selepas laporan CPR sedang dijalankan.

Punca kematian masih belum didedahkan secara rasmi, namun pihak koroner menyatakan tiada unsur mencurigakan ditemui di lokasi.

Rivera, seorang veteran tentera AS, telah menjadi wajah utama dalam jelajah Annabelle yang membawa anak patung Raggedy Ann itu ke seluruh negara.

Beliau sering berkongsi kisah dan teknik perlindungan rohani yang diajar oleh mentornya, Lorraine Warren, termasuk visualisasi cahaya putih sebagai pelindung daripada entiti jahat.

Anak patung Annabelle mula dikenali pada tahun 1970-an apabila dua pelajar kejururawatan melaporkan aktiviti paranormal yang semakin agresif di sekitar patung tersebut.

Ia kemudian diserahkan kepada pasangan penyiasat terkenal, Ed dan Lorraine Warren, dan kini disimpan dalam kotak kaca di muzium okultisme mereka di Connecticut.

Kematian Rivera mencetuskan pelbagai reaksi dalam komuniti paranormal dan media sosial, dengan sesetengah netizen menyifatkan insiden itu sebagai “sesuatu yang sudah dijangka” kerana reputasi Annabelle yang menyeramkan.

Jelajah di Gettysburg dilaporkan habis dijual, dengan lebih 1,260 tiket terjual dalam tempoh tiga hari.

Buat masa ini, masa depan jelajah Annabelle masih belum dipastikan.

NESPR belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai sama ada acara akan diteruskan atau dibatalkan.







#Annabelle #Dan Rivera #penyiasat paranormal #The Conjuring