DUNIA
Perancis akan iktiraf negara Palestin September Ini – Macron

Menurut Macron, selaras dengan komitmen sejarah Perancis terhadap keamanan yang adil dan berkekalan di Asia Barat, beliau telah membuat keputusan bahawa Perancis akan mengiktiraf negara Palestin. - Gambar fail AP
PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan, negaranya akan mengiktiraf negara Palestin dalam ucapan rasmi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini.
Dalam satu hantaran di platform X, Macron berkata: “Selaras dengan komitmen sejarah Perancis terhadap keamanan yang adil dan berkekalan di Asia Barat, saya telah membuat keputusan bahawa Perancis akan mengiktiraf negara Palestin.”
Beliau turut menegaskan, keperluan segera untuk menamatkan perang di Gaza dan melindungi penduduk awam.
Macron sekali lagi menggesa gencatan senjata serta-merta, akses bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza, pembebasan semua tebusan dan pelucutan senjata Hamas.“Kita mesti membina negara Palestin, memastikan ia berdaya saing dan kekal, serta menjamin bahawa dengan menerima pelucutan senjata dan pengiktirafan sepenuhnya terhadap Israel, ia akan menyumbang kepada keselamatan seluruh rantau Asia Barat. Tiada pilihan lain,” kata Macron.
Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot memaklumkan, Konsul Perancis di Baitulmaqdis telah menyerahkan sepucuk surat daripada Macron kepada pihak Berkuasa Palestin yang menyatakan hasrat rasmi Perancis itu.
Barrot juga dijadualkan mengesahkan komitmen tersebut secara rasmi di pentas PBB pada Isnin.
Naib Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Hussein Al Sheikh turut mengucapkan penghargaan kepada Macron menerusi hantaran di platform X, atas surat yang ditujukan kepada Presiden Mahmoud Abbas. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami