PARIS: Perancis dan Arab Saudi mencapai persetujuan untuk membangunkan sebuah taman tema berkonsepkan manga bernilai €6 bilion (RM28.2 bilion) berhampiran Paris, menurut Istana Elysee pada Isnin sempena lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, ke ibu negara Perancis itu.
Projek yang diinspirasikan daripada dunia francais manga dan anime Jepun popular, Dragon Ball Z, akan dibina berhampiran Cergy-Pontoise di barat laut Paris dan dijangka mewujudkan kira-kira 22,000 peluang pekerjaan.
Menurut penasihat Presiden Perancis, Emmanuel Macron, idea pembangunan itu tercetus selepas Macron dan Mohammed bin Salman menyedari mereka berkongsi minat yang sama terhadap Dragon Ball Z ketika lawatan Macron ke Arab Saudi pada tahun 2025.
Kumpulan hiburan dan pelaburan Arab Saudi, Qiddiya, akan membiayai projek berkenaan yang juga sebahagian daripada usaha kerajaan Arab Saudi mempelbagaikan ekonominya daripada kebergantungan kepada minyak serta memperluaskan pengaruh global dalam industri rekreasi dan hiburan.
Setakat ini, tiada tarikh pembukaan diumumkan bagi projek yang dijangka menjadi antara pembangunan taman tema terbesar di Eropah itu, dengan kerja pembinaan dijangka mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.
Mohammed bin Salman, yang memiliki sebuah istana kecil atau chateau berhampiran Paris sedang melakukan lawatan rasmi luar negara yang jarang berlaku dan turut muncul bersama Macron pada majlis penutupan Esports World Cup di Paris pada Ahad.
Pegawai Perancis menyifatkan projek Dragon Ball Z itu sebagai bukti negara tersebut terus menjadi destinasi pilihan pelabur asing.
Namun, beberapa butiran penting mengenai pembangunan berskala besar itu, termasuk pelaksanaan tiga taman tema berbeza dalam satu projek, masih belum dimuktamadkan. - Agensi