Skip to main content

Dunia

Perancis bergelut bendung kebakaran hutan, hampir 1,900 hektar musnah

TB_FONTAINEBLEAU_AP
Kebakaran pertama yang tercetus pada Ahad memusnahkan kira-kira 1,500 hektar, manakala kebakaran kedua memusnahkan antara 300 hingga 400 hektar. - AP
Advertisement

BRUSSELS: Dua kebakaran hutan di Hutan Fontainebleau, Perancis terus merebak semalaman sehingga memusnahkan kira-kira 1,920 hektar kawasan, manakala pihak berkuasa menahan dua individu yang disyaki sengaja mencetuskan kebakaran pertama, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik penyiar BFMTV pada Selasa.

Kira-kira 600 anggota bomba masih berada di lokasi bagi meneruskan operasi pemadaman.

Menurut pihak bomba, dua kebakaran yang masih aktif di Hutan Fontainebleau telah menjejaskan keseluruhan 1,920 hektar kawasan.

Kebakaran pertama yang tercetus pada Ahad memusnahkan kira-kira 1,500 hektar, manakala kebakaran kedua memusnahkan antara 300 hingga 400 hektar.

Menteri Pengangkutan Perancis Philippe Tabarot menggesa hukuman "amat berat" dikenakan terhadap mereka yang didapati sengaja mencetuskan kebakaran, sambil berkata sesetengah pesalah turut perlu menjalani rawatan.

Beliau berkata mereka yang disahkan melakukan perbuatan khianat dengan membakar hendaklah dikenakan "hukuman yang sangat berat", manakala individu yang mengalami pyromania perlu diberikan rawatan.

Pihak berkuasa Perancis memaklumkan seramai 59 individu telah ditahan di seluruh negara sejak bermulanya musim kebakaran hutan kerana disyaki sengaja mencetuskan kebakaran.

Dua daripada tangkapan itu dikaitkan dengan kebakaran di Hutan Fontainebleau.

Sementara itu, perkhidmatan kereta api di selatan Perancis masih terjejas susulan kebakaran hutan di      Trevillach, wilayah Pyrenees-Orientales.

Kebakaran yang berlaku awal bulan ini merosakkan infrastruktur landasan di laluan Perpignan-Villefranche-Vernet-les-Bains.

Pengendali kereta api nasional SNCF memaklumkan perkhidmatan tren antara Ille-sur-Tet dan Villefranche-Vernet-les-Bains akan terus digantung sekurang-kurangnya sehingga 20 Julai.

Kebakaran hutan turut menjejaskan Brittany dan Lozere ketika anggota bomba meneruskan usaha mengawal beberapa lagi kebakaran.

Di wilayah Cotes-d'Armor, Brittany, lebih 100 penduduk dipindahkan pada Isnin selepas kebakaran belukar berhampiran Cap Frehel memusnahkan kira-kira 38 hektar kawasan.

Di Lozere, pihak berkuasa melaporkan sebanyak 107 hektar kawasan telah musnah dalam kebakaran itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement