PARIS: Perancis menjadi negara pertama di dunia yang secara eksplisit memasukkan hak pengguguran dalam Perlembagaannya.

Ahli Parlimen negara itu mengundi untuk menyemak semula Perlembagaan negara 1958 bagi menjamin "kebebasan " wanita melakukan pengguguran kandungan.

Keputusan undian luar biasa 780-72 sekali gus menyebabkan Parlimen di Versailles menerima tepukan gemuruh sebaik keputusan diumumkan.

Presiden Emmanuel Macron menyifatkan langkah itu sebagai "kebanggaan Perancis" sekali gus menghantar "mesej universal."

Bagaimanapun, kumpulan anti-pengguguran mengkritik perubahan itu, demikian juga dengan Vatican.

Pengguguran sah di sisi undang-undang Perancis sejak 1975, namun, tinjauan pendapat menunjukkan sekitar 85 peratus orang ramai menyokong pindaan Perlembagaan untuk melindungi hak menamatkan kehamilan.

Ketika beberapa negara lain memasukkan hak reproduktif dalam Perlembagaan mereka - Perancis muncul sebagai negara pertama yang menyatakan secara jelas bahawa pengguguran akan dijamin.

Ia menjadi pindaan ke-25 kepada dokumen pengasas Perancis moden dan yang pertama sejak 2008.

Selepas undian berlangsung, lampu di Menara Eiffel di sini dinyalakan mengiringi mesej "Tubuh Saya Pilihan Saya".

Sebelum pengundian, Perdana Menteri Gabriel Attal memberitahu Parlimen bahawa hak untuk pengguguran kekal "dalam bahaya" dan "atas belas kasihan pembuat keputusan."

"Kami menghantar mesej kepada semua wanita: tubuh badan anda adalah milik anda dan tiada siapa yang boleh membuat keputusan untuk anda," tambahnya.

Walaupun tentangan daripada sayap kanan di Parlimen gagal menjadi kenyataan, Presiden Macron telah dituduh menggunakan Perlembagaan untuk tujuan pilihan raya.

Pengkritik berkata, semakan itu tidak semestinya salah, tetapi tidak perlu dan menuduh Presiden cuba menggunakan sebab untuk meningkatkan kelayakan sayap kirinya.

Sejak 1975 undang-undang telah dikemas kini sebanyak sembilan kali - dan pada setiap kesempatan dengan tujuan untuk memperluaskan akses.

Majlis Perlembagaan Perancis - badan yang memutuskan kesesuaian undang-undang - tidak pernah menimbulkan pertanyaan.

Dalam keputusan tahun 2001, majlis itu mengasaskan kelulusan pengguguran berdasarkan tanggapan kebebasan yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia 1789, yang secara teknikalnya merupakan sebahagian daripada Perlembagaan.

Ramai ahli perundangan mengatakan pengguguran sudah menjadi hak Perlembagaan.- Agensi