DUNIA

Perancis, Jerman dan UK kecam ancaman terhadap Ketua IAEA

Astro Awani 01/07/2025 | 01:50 MYT
Iran menuduh Grossi gagal mengutuk serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran, dan menyifatkan tindakan beliau sebagai “pengkhianatan terhadap tugasnya”. - Foto fail/REUTERS
VIENNA: Tiga kuasa besar Eropah - Perancis, Jerman dan United Kingdom - mengeluarkan kenyataan bersama mengecam keras ancaman terhadap Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, selepas sebuah akhbar konservatif Iran mencadangkan beliau dihukum mati atas dakwaan menjadi ejen Israel.
Kenyataan itu menyusul selepas akhbar Kayhan, yang rapat dengan Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, menuduh Grossi mempunyai kaitan dengan agensi perisikan Mossad dan menyeru agar beliau dibicarakan serta dihukum mati sekiranya memasuki Iran.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang ancaman terhadap Pengarah Agung IAEA dan menyatakan sokongan penuh kami terhadap agensi tersebut dalam melaksanakan mandatnya,” kata kenyataan bersama dari ketiga-tiga kementerian luar negara berkenaan.
Mereka turut menggesa Iran agar tidak menghentikan kerjasama dengan IAEA dan mengambil langkah segera untuk menjamin keselamatan kakitangan agensi itu di wilayahnya.
Iran sebelum ini menuduh Grossi gagal mengutuk serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran, dan menyifatkan tindakan beliau sebagai “pengkhianatan terhadap tugasnya”.
Parlimen Iran juga telah meluluskan undang-undang untuk menggantung kerjasama dengan IAEA.
Walaupun Iran menafikan wujudnya ancaman terhadap Grossi, kenyataan dari media dan pegawai tinggi negara itu telah menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap keselamatan misi pemantauan nuklear PBB di Iran.
#IAEA #Rafael Grossi #Iran #Ayatollah Ali Khamenei