Skip to main content

Dunia

Perancis lanjut perintah berkurung bendung rusuhan, penjarahan

Pelajar bergelut dengan polis rusuhan semasa satu tunjuk perasaan membantah kekurangan sumber di sekolah-sekolah di Paris, 8 Okt 2026. (Foto AP)
Pelajar bergelut dengan polis rusuhan semasa satu tunjuk perasaan membantah kekurangan sumber di sekolah-sekolah di Paris, 8 Okt 2026. (Foto AP)

Advertisement

PARIS: Perintah berkurung yang dilaksanakan di seluruh Perancis berikutan rusuhan dan penjarahan di Paris serta kawasan lain berjaya meredakan keadaan, kata Perdana Menteri Sébastien Lecornu pada Selasa, sambil menambah bahawa langkah berkenaan akan dilanjutkan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perintah berkurung bersasar itu membantu malam berlalu dengan tenang, kata Lecornu pada sebelah pagi.

"Malam ini, perintah berkurung baharu akan dilaksanakan di kawasan yang memerlukan," katanya sambil menjelaskan bahawa keputusan berkenaan akan dibuat di peringkat tempatan oleh wakil kerajaan pusat dengan perundingan bersama datuk bandar.

Pihak polis dan “gendarmerie” tidak melaporkan sebarang insiden luar biasa di kawasan terjejas, lapor BFMTV yang memetik kenyataan pihak berkuasa.

Beberapa bandar raya termasuk ibu negara telah mengenakan sekatan pada Isnin malam.

Di Paris, sebarang keberadaan di kawasan pusat bandar raya sekitar Place de la République dan Daerah Les Halles dilarang sama sekali antara 11 malam hingga 6 pagi. Larangan berhimpun dan berdemonstrasi pula dikuatkuasakan bermula 8 malam di kawasan tertentu di bandar itu.

 Polis Wilayah menyatakan langkah berkenaan perlu bagi memulihkan ketenteraman awam.

Larangan demonstrasi dan perintah berkurung turut dikenakan di Lyon, dengan orang ramai hanya dibenarkan berada di jalanan sekiranya dapat memberikan alasan yang munasabah.

Golongan kanak-kanak dan remaja bawah umur pula dikenakan perintah berkurung di Nice serta bandar-bandar di utara Perancis seperti Lille, Douai, Wattignies dan Denain.

Protes di seluruh negara menentang peningkatan kos sara hidup pada hujung minggu lepas diiringi rusuhan teruk dan penjarahan. Protes baharu dijangka berlaku pada Sabtu.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement