DUNIA

Perancis panggil Duta AS berhubung surat dakwaan anti-semitisme ‘tidak boleh diterima’

Agensi 24/08/2025 | 23:50 MYT
Menurut Perancis, tuduhan Kushner melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara lain. - Gambar fail AP
WASHINGTON: Perancis memanggil Duta Amerika Syarikat (AS) ke Paris selepas diplomat Charles Kushner menulis surat kepada Presiden Emmanuel Macron dengan mendakwa negara itu tidak berbuat cukup untuk menangani isu anti-semitisme.

Dalam kenyataan pada Ahad (24 Ogos), Kementerian Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis memaklumkan, Kushner diarahkan hadir pada Isnin di kementerian berkenaan susulan dakwaan yang dianggap “tidak boleh diterima”.

White House dan Jabatan Negara AS setakat ini belum memberikan sebarang komen.

Tindakan memanggil seorang duta besar merupakan isyarat rasmi dan terbuka tentang ketidakpuasan hati sesuatu kerajaan.

Kushner, seorang pemaju hartanah, merupakan bapa kepada menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner.

Kementerian Luar Perancis dalam kenyataannya menegaskan, pihaknya menolak sepenuhnya dakwaan tersebut, sambil menjelaskan pihak berkuasa negara itu telah “sepenuhnya digerakkan” untuk membendung peningkatan kes antisemitisme sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Kenyataan itu turut menyifatkan tindakan anti-semitisme sebagai “tidak boleh diterima.”

Kandungan penuh surat Kushner tidak didedahkan.

Menurut Perancis, tuduhan Kushner melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.

“Dakwaan itu juga tidak selaras dengan semangat perkongsian transatlantik antara Perancis dan Amerika Syarikat serta rasa saling percaya yang perlu wujud antara sekutu,” jelas kementerian berkenaan.

Ketegangan ini berlaku selepas Macron minggu lalu menolak tuduhan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa hasrat Perancis untuk mengiktiraf negara Palestin menjadi punca peningkatan anti-semitisme.

Perancis ketika ini menempatkan populasi Yahudi terbesar di Eropah Barat, dianggarkan sekitar 500,000 orang atau kira-kira satu peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya.

Keretakan hubungan diplomatik ini muncul ketika hubungan Perancis-AS turut terjejas akibat perang perdagangan yang dilancarkan Trump, selain perbezaan pendirian mengenai masa depan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan.

Perancis secara khusus membantah desakan Washington untuk menamatkan operasi UNIFIL, dengan undian mengenai isu itu dijangka dibuat Majlis Keselamatan PBB hujung bulan ini.

Selain itu, Paris dan Washington juga pernah berbeza pandangan mengenai sokongan kepada Ukraine dalam perang menentang Rusia.

Bagaimanapun, perbezaan itu semakin reda selepas Trump menyatakan sokongan terhadap jaminan keselamatan dan mengadakan pertemuan mesra dengan Macron serta pemimpin Eropah lain di White House minggu lalu.

Sebagai rekod, Trump pernah memberi pengampunan Presiden kepada Charles Kushner pada hujung penggal pertamanya, selepas Kushner mengaku bersalah terhadap kesalahan pengelakan cukai serta membuat sumbangan politik haram.

Anaknya, Jared Kushner, merupakan bekas penasihat kanan White House dan suami kepada anak perempuan sulung Trump, Ivanka. - Agensi


#Perancis #Duta AS #Charles Kushner #anti-semitisme