Ringkasan AI
- Polis Perancis memperketat langkah keselamatan menjelang protes besar-besaran Sabtu ini, dengan jangkaan hingga 140,000 peserta di seluruh negara.
- Pihak berkuasa bersedia menggunakan bom tangan pegun dan peluru getah terhadap individu yang mencetuskan kekacauan semasa demonstrasi.
- Protes disertai pelajar, ahli politik berhaluan kiri dan penunjuk perasaan Jaket Kuning, membantah kos sara hidup serta dasar kerajaan Macron.
PARIS: Polis Perancis bersiap sedia memperketat langkah keselamatan menjelang protes di seluruh negara pada Sabtu, ketika penunjuk perasaan menggesa kebangkitan semula gerakan Jaket Kuning yang pernah mencetuskan gelombang tunjuk perasaan pada 2019, menurut Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez.
Nunez memberitahu penyiar France 2 pada Jumaat bahawa pasukan keselamatan akan menggunakan bom tangan pegun dan peluru getah terhadap individu yang mencetuskan kekacauan, susulan kebimbangan pihak berkuasa bahawa protes itu boleh membawa kepada sekatan jalan raya, rusuhan dan keganasan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Antara 70,000 hingga 140,000 orang dijangka menyertai protes pada Sabtu bagi menyuarakan bantahan terhadap kos sara hidup yang tinggi, harga bahan api, gaji rendah serta isu yang dihadapi sektor pertanian dan perkhidmatan bomba, menurut seruan demonstrasi yang disebarkan dalam talian.
Penunjuk perasaan turut menggesa kebangkitan semula gerakan Jaket Kuning, yang sebelum ini mengadakan demonstrasi besar-besaran bagi membantah kos sara hidup yang tinggi serta dasar pembaharuan Presiden Emmanuel Macron.
Pelajar sekolah dan universiti yang sebelum ini mengetuai protes besar-besaran berhubung masalah dalam sistem pendidikan turut merancang menyertai demonstrasi di seluruh negara.
Beberapa ahli politik berhaluan kiri turut menyatakan sokongan terhadap protes berkenaan dan merancang menyertai perarakan itu.
Bagaimanapun, kerajaan pimpinan Macron yang berhaluan tengah menuduh kumpulan berhaluan kiri, khususnya parti La France Insoumise (LFI), memburukkan lagi keadaan dengan menggalakkan protes dan cuba mencetuskan kekacauan menjelang pilihan raya presiden tahun depan.
Pihak berhaluan kiri pula berpandangan bahawa kerajaan tidak seharusnya terkejut dengan peningkatan protes pelajar sekiranya terus mengabaikan kebimbangan golongan muda.
Pemimpin LFI Jean-Luc Melenchon dijangka bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2027 dan menurut tinjauan pendapat, beliau berpotensi mara ke pusingan akhir pemilihan itu.
-- BERNAMA-dpa