DUNIA

Perancis sahkan pintas dron Iran sebelum gencatan senjata

Astro Awani 26/06/2025 | 09:18 MYT
Lecornu berkata Iran telah melancarkan kira-kira 400 peluru berpandu balistik dan 1,000 dron ke arah Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan awal oleh Tel Aviv. -Gambar fail/Reuters
PARIS: Tentera Perancis telah memintas beberapa dron Iran yang disasarkan ke arah Israel sebelum gencatan senjata dimeterai awal minggu ini, menurut Menteri Pertahanannya, Sebastien Lecornu.

Ringkasan AI
  • Tentera Perancis memintas kurang daripada 10 dron Iran yang disasarkan ke arah Israel menggunakan sistem peluru berpandu dan jet Rafale sebelum gencatan senjata dimeterai.
  • Sepanjang konflik 12 hari, Iran melancarkan sekitar 400 peluru berpandu balistik dan 1,000 dron ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan awal Israel yang menyebabkan 610 kematian di Iran.
  • Serangan balas Iran mengorbankan sekurang-kurangnya 28 rakyat Israel, manakala serangan udara turut membunuh saintis nuklear Iran dan ahli keluarganya serta menyebabkan kematian pelajar dan pendidik.

Bercakap dalam sesi perbahasan parlimen lewat malam tadi mengenai situasi di Asia Barat, Lecornu mengesahkan pihak tentera menggunakan sistem pertahanan negara untuk memintas dron milik Iran.
“Saya boleh mengesahkan bahawa tentera Perancis telah memintas kurang daripada 10 dron dalam beberapa hari kebelakangan ini semasa operasi ketenteraan yang dijalankan oleh Republik Islam Iran terhadap Israel, sama ada melalui sistem darat-ke-udara atau jet pejuang Rafale kami,” kata Lecomu.
Beliau turut mendedahkan bahawa sepanjang konflik selama 12 hari, Iran telah melancarkan kira-kira 400 peluru berpandu balistik dan 1,000 dron ke arah Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan awal oleh Tel Aviv.
Israel memulakan kempen ketenteraannya pada 13 Jun lalu dengan alasan melumpuhkan keupayaan nuklear Iran, termasuk membunuh beberapa saintis nuklear dan pegawai kanan tentera.
Pihak berkuasa Iran memaklumkan bahawa serangan tersebut telah mengorbankan 610 nyawa dan mencederakan hampir 5,000 orang.
Sebagai tindak balas, peluru berpandu Iran pula dilapor mengorbankan sekurang-kurangnya 28 rakyat Israel dan merosakkan ratusan bangunan sebelum gencatan senjata berkuat kuasa pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan Iran Alireza Kazemi turut mengesahkan bahawa 20 pelajar dan beberapa pendidik terkorban dalam serangan berkenaan.
Sementara itu, stesen Press TV pula melaporkan saintis nuklear Iran, Sedighi Saber, terbunuh bersama 11 ahli keluarganya dalam serangan udara di Astaneh Ashrafieh.
Antara yang terkorban termasuk warga emas, wanita, dan beberapa kanak-kanak, menurut siaran gambar yang dikeluarkan oleh stesen tersebut.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#gencatan senjata #tentera Perancis #pintas dron Iran #jet Rafale #Sebastien Lecornu