DUNIA

Perancis tahan suspek ketiga kes rompakan permata di Muzium Louvre

Astro Awani 30/10/2025 | 07:30 MYT
Polis Perancis tahan suspek ketiga kes rompakan di Muzium Louvre, menjadikan jumlah tangkapan kepada tiga orang setakat ini. -Gambar fail/Reuters
PARIS: Polis Perancis menahan seorang lagi suspek berhubung kes rompakan berprofil tinggi di Muzium Louvre, di sini, menjadikan jumlah tangkapan setakat ini kepada tiga orang.


Ringkasan AI
  • Polis Perancis tahan suspek ketiga kes rompakan di Muzium Louvre, menjadikan jumlah tangkapan kepada tiga orang setakat ini.
  • Lapan permata berharga dari Galeri Apollo masih belum ditemui, siasatan melibatkan lebih 100 pegawai dan kelemahan sistem keselamatan muzium turut didedahkan.
  • Menteri Dalam Negeri arah kawalan keselamatan dipertingkat di muzium dan tapak warisan, manakala Pengarah Louvre tawar letak jawatan susulan insiden.


Menurut laporan stesen televisyen BFM, suspek ketiga itu ditahan di wilayah Paris lewat malam Rabu dan dipercayai berada di lokasi kejadian semasa rompakan berlaku pada pagi 19 Oktober.

Empat individu bertopeng dilaporkan telah melarikan lapan permata berharga dari Galeri Apollo — lokasi yang menempatkan Permata Mahkota Perancis — ketika muzium dibuka kepada orang awam.

Dua suspek pertama ditahan hujung minggu lalu, masing-masing ketika cuba melarikan diri ke Algeria dan Mali.

Mereka dipercayai memasuki muzium melalui tingkap tingkat atas dan mengaku terlibat dalam rompakan tersebut, menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Paris.

Setakat ini, permata yang dicuri masih belum ditemui semula. Siasatan melibatkan lebih 100 pegawai dan dijangka berterusan dalam beberapa minggu akan datang.

Pihak berkuasa turut menambah permata yang hilang ke dalam pangkalan data INTERPOL bagi karya seni yang dicuri.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di muzium paling banyak dikunjungi di dunia itu.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nuñez, memuji tindakan pantas pihak polis dan mengarahkan agar semua jabatan polis meningkatkan kawalan keselamatan di muzium dan tapak warisan budaya lain.

Siasatan turut mendedahkan kelemahan sistem keselamatan Louvre, termasuk kamera pengawasan yang tidak mencukupi dan kedudukan tingkap yang mudah diakses.

Malah, seorang bekas perompak profesional yang pernah dijemput ke muzium untuk rakaman podcast pada 2020 mengakui telah memberi amaran awal mengenai kelemahan tersebut.

Pengarah Louvre, Laurence des Cars, mengakui bahawa sistem keselamatan muzium tidak memadai dan telah menawar diri untuk meletak jawatan, namun ditolak oleh Menteri Kebudayaan.








#Paris #kes rompakan #muzium louvre #permata berharga #Galeri Apollo