Skip to main content

Dunia

Perang bola salji cetus pertelagahan antara Datuk Bandar NYC dan NYPD

People engage in a snowball fight at Brooklyn Bridge Park, Tuesday, Feb. 24, 2026, in New York. (AP Photo/Yuki Iwamura)
Orang ramai bermain perang bola salji di Brooklyn Bridge Park. - Foto AP

NEW YORK: Insiden permainan perang bola salji di Washington Square Park ketika ribut salji besar di New York bertukar kecoh apabila beberapa individu dilihat membaling bola salji ke arah anggota polis, sehingga mencetuskan pertikaian antara Datuk Bandar Zohran Mamdani dan kepimpinan NYPD.

Rakaman video menunjukkan suasana riuh mula berubah apabila pegawai NYPD tiba selepas menerima panggilan kecemasan, lalu disambut dengan jeritan dan balingan salji ketika mereka berundur ke arah van polis.

Advertisement

NYPD mendakwa empat lelaki berusia sekitar 18 hingga 20 tahun telah “mengena pegawai berkali-kali dengan campuran salji dan ais pada bahagian kepala dan muka”, menyebabkan kecederaan dan memerlukan rawatan hospital.

Pesuruhjaya Polis Jessica Tisch menyifatkan perlakuan itu sebagai “memalukan dan jenayah”, dan mengarahkan siasatan penuh dengan penyebaran foto suspek untuk dikenal pasti.

Namun, Mamdani melihat insiden itu sebagai permainan yang “terlebih ganas”, menyatakan bahawa mereka yang terlibat tidak wajar dikenakan tuduhan jenayah.

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya menghormati semua pekerja bandar, termasuk polis, yang berkhidmat ketika ribut salji.

“Jika ada yang patut kena baling, biarlah saya,” katanya secara berseloroh.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan kesatuan polis yang menuduh beliau meremehkan serangan terhadap pegawai bertugas.

Beberapa pemimpin polis mendakwa insiden itu bukan lagi permainan, tetapi serangan yang disengajakan menggunakan ketulan ais.

Walaupun kritikan semakin meningkat, Mamdani tetap mempertahankan pendiriannya, menganggap situasi itu sebahagian daripada kegembiraan pasca ribut salji yang tidak dikawal.

Namun, NYPD terus meneruskan usaha mengesan suspek bagi siasatan lanjut.

 

Must Watch Video