HELSINKI: Presiden Finland, Alexander Stubb, memberi amaran bahawa perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran berisiko mencetuskan kemelesetan global yang lebih parah berbanding krisis COVID‑19, jika tidak dihentikan segera.
Dalam temu bual bersama portal Politico, Stubb menyifatkan keadaan itu sebagai “kemelesetan global akibat perbuatan sendiri”, sambil menegaskan bahawa konflik tersebut boleh menggugat rantaian bekalan tenaga dunia dan mengheret ekonomi global ke dalam kegawatan yang lebih buruk.
Beliau turut mengkritik pendekatan “Utamakan Amerika” (America First) yang diamalkan Presiden Donald Trump, dengan menyatakan bahawa diplomasi tidak seharusnya dibataskan kepada manfaat jangka pendek.
“Diplomasi jarang sekali berbentuk transaksi. Maksud saya, kepentingan mungkin bersifat timbal balik, tetapi dalam keadaan itu pun anda perlu mencari kepentingan bersama,” katanya, di sini, hari ini.
Advertisement
Stubb turut memberi isyarat jelas mengenai pendirian Eropah yang tidak mahu terjerumus dalam konflik Asia Barat.
“Ini mungkin kedengaran keras, tetapi Iran bukan peperangan saya; peperangan saya ialah Ukraine,” tegasnya, menggambarkan fokus keselamatan benua Eropah ketika ini.
Kebimbangan itu turut disokong penganalisis ekonomi, yang menjangka krisis di Selat Hormuz boleh melumpuhkan sektor logistik global lebih pantas berbanding sekatan pergerakan ketika pandemik lalu.
Kenaikan mendadak harga minyak dan risiko gangguan bekalan tenaga kini menekan fiskal banyak negara.