Perang Palestin - Israel: 'Ramadan kali ini hadir dalam penderitaan ... ' - Joe Biden

Firdaus Azil
Mac 11, 2024 07:34 MYT
Biden dalam catatan berhubung Ramadan berkata, Amerika Syarikat akan terus meneruskan usaha mewujudkan genjatan senjata sekurang-kurangnya untuk tempoh enam minggu sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk membebaskan tebusan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan, tahun ini hadir dalam saat yang penuh dengan penderitaan dan kedukaan, kata Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.
Dalam mesejnya sempena Ramadan, beliau berkata, peperangan yang berlaku di Gaza telah mengakibatkan lebih 30,000 rakyat Palestin terbunuh, dengan majoriti mereka adalah orang awam, termasuk ribuan kanak-kanak.
Katanya lagi, terdapat juga dari kalangan mangsa yang merupakan ahli keluarga kepada rakyat Amerika Syarikat beragama Islam, yang sehingga ke hari ini masih lagi meratapi pemergian mangsa di Palestin.
“Hampir dua juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal akibat peperangan itu, dan mereka amat memerlukan bekalan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan tempat perlindungan. Ketika orang Muslim di seluruh dunia mengerjakan ibadah puasa, penderitaan rakyat Palestin akan sentiasa dalam minda mereka. Ia juga berada dalam minda saya.
“Amerika Syarikat akan terus memimpin usaha antarabangsa untuk mendapatkan lebih banyak bantuan kemanusiaan ke Gaza, sama ada melalui darat, udara mahupun perairan.
“Minggu ini saya telah mengarahkan operasi ketenteraan untuk melakukan misi kecemasan bagi mewujudkan pangkalan sementara di perairan Gaza bagi membolehkan mereka menerima bantuan perkapalan yang besar,” katanya lagi.

Tonight as the new crescent moon marks the beginning of the Islamic holy month of Ramadan Jill and I extend our best wishes and prayers to Muslims across our country and around the world. pic.twitter.com/oLC4Rmq0mA

— President Biden (@POTUS) March 11, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Biden berkata, Amerika Syarikat sedang melaksanakan operasi menghantar bantuan melalui udara , dibantu dengan rakan strategik mereka iaitu Jordan, selain terus bekerjasama dengan Israel untuk membolehkan bantuan dihantar melalui darat, dan mendesak rejim itu memudahcara lebih banyak laluan darat.
Dalam AS berbuat demikian, Biden berkata, negara itu akan terus meneruskan usaha mewujudkan genjatan senjata sekurang-kurangnya untuk tempoh enam minggu sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk membebaskan tebusan.
“Dan kami akan terus membina masa depan yang stabil, terjamin dan aman. Ini termasuk usaha mewujudkan penyelesaian dua negara bagi memastikan kedua-dua rakyat Palestin dan Israel berkongsi kebebasan, maruah, keterjaminan dan kemakmuran bersama. Itu sahaja jalan untuk mencapai keamanan,” katanya lagi.
#Joe Biden #Perang Gaza - Israel #Amerika Syarikat #perlu wujud gencatan senjata