INTERNATIONAL

Perang perdagangan: China lantik wakil perdagangan antarabangsa baharu Mofcom

Agensi 16/04/2025 | 06:20 MYT
Li, 58, mempunyai pengalaman mengendalikan rundingan antarabangsa di Mofcom, dan pernah berkhidmat sebagai Duta China ke WTO yang berpusat di Geneva sejak 2021. - Gambar/ WTO
BEIJING: China melantik wakil perdagangan antarabangsa baharu di Kementerian Perdagangan (Mofcom) pada Rabu di tengah-tengah perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Li Chenggang akan menggantikan Wang Shouwen, yang mana beliau pernah terlibat dalam rundingan untuk perjanjian perdagangan 2020 antara dua ekonomi terbesar dunia.

Li, 58, mempunyai pengalaman beberapa tahun dalam mengendalikan rundingan antarabangsa di Mofcom, dan juga pernah berkhidmat sebagai Duta China ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang berpusat di Geneva sejak 2021.

Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang dari Universiti Peking dan ijazah sarjana dalam ekonomi undang-undang dari Universiti Hamburg di Jerman.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah menaikkan tarif ke atas barangan China sebanyak 145 peratus sejak kembali ke pejabat pada bulan Januari, menyebabkan Beijing membalas dengan tarif balasnya sendiri.

Ketika ini, Naib Perdana Menteri He Lifeng merupakan pegawai utama yang mengendalikan urusan ekonomi China-AS manakala wakil perdagangan utama di Mofcom memberi bantuan dan mengendalikan hubungan kerja dengan rakan sejawat di luar negara.



#Amerika Syarikat #China #tarif Trump #Donald Trump