KUALA LUMPUR: Palestin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan teguh mereka terhadap negara itu semasa sesi pendengaran awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.

"Bagi pihak rakyat Palestin, kami mengagumi dan sangat menghargai mesej yang disampaikan Malaysia di The Hague," kata Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali pada sidang media di pejabatnya di sini, pada Isnin.

Malaysia dalam menyampaikan kenyataan lisan pada sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di ICJ pada Februari mendesak Israel mesti menghentikan semua pencabulan yang berterusan dan serta-merta berundur dari Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyampaikan kenyataan itu juga menyenaraikan empat elemen substantif utama hak untuk menubuhkan negara sendiri bagi rakyat Palestin - hak terhadap integriti wilayah, hak terhadap kesatuan wilayah dan perlindungan terhadap integritinya, hak terhadap kedaulatan kekal ke atas kekayaan dan sumber semula jadi, dan kebebasan untuk menikmati pembangunan ekonomi, sosial, dan budaya.

Malaysia juga menegaskan mengenai kewajipan semua negara dunia untuk terus menyokong Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin dan sebaliknya menghentikan sebarang bantuan kewangan atau ketenteraan kepada Israel.

Duta itu juga melahirkan kebimbangan mendalam terhadap rakyat Palestin di Gaza menjelang Ramadan ketika Israel meneruskan serangan di wilayah yang dikepung berkenaan.

Beliau menggesa untuk gencatan senjata tanpa syarat dan segera di Gaza untuk memudahkan koridor kemanusiaan dalam menyampaikan bantuan yang mendesak kepada rakyat Palestin.

Bagaimanapun beliau ragu-ragu bahawa tentera rejim akan menghentikan serangan mereka.

"Ramadan amat bermakna kepada semua umat Islam. Tetapi tidak kepada semua pengganas di Israel pada masa ini. Perkara ini tidak akan pernah berubah sama ada pada Ramadan atau sebalikya.

"Israel akan terus menyerang dan membunuh rakyat Palestin yang tidak bersalah," katanya.

Beliau turut mengecam Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir, kerana mengesyorkan untuk menyekat kemasukan umat Islam ke Masjid Al-Aqsa semasa Ramadan.

Sekurang-kurangnya 30,410 orang penduduk Palestin terbunuh dan lebih 71,700 lagi cedera dalam serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt lepas.

-- BERNAMA