INTERNATIONAL
Perbualan sulit bocor, Trump ditekan hebat
Naib Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Senat Mark Warner (kiri) bercakap semasa sesi pendengaran di Washington DC. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump sedang berusaha mengawal keadaan selepas seorang wartawan secara tidak sengaja telah dimasukkan ke dalam perbualan sulit mengenai rancangan ketenteraan.
Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan serius berhubung keselamatan negara Amerika Syarikat (AS).
Perbualan tersebut berlaku menerusi aplikasi pesanan 'sulit' Signal dan melibatkan pegawai tinggi seperti Pengarah Perisikan Kebangsaan, Tulsi Gabbard, dan Pengarah CIA, John Ratcliffe.
Kedua-dua mereka menafikan sebarang pendedahan maklumat sulit dalam perbualan tersebut semasa memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perisikan Senat.
Namun, beberapa senator Demokrat menyuarakan keraguan terhadap penafian tersebut, berdasarkan laporan Ketua Pengarang The Atlantic, Jeffrey Goldberg, yang menyatakan bahawa Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, telah berkongsi butiran operasi terhadap kumpulan Houthi di Yaman.
Laporan itu menyebut maklumat yang didedahkan termasuk sasaran serangan, jenis senjata yang akan digunakan oleh AS, serta susunan taktikal operasi, yang dianggap amat sensitif dan berisiko tinggi jika terdedah.
Susulan insiden itu, Jawatankuasa Perisikan Senat mengumumkan rancangan untuk melaksanakan audit menyeluruh terhadap kandungan perbualan Signal, dengan persetujuan daripada Gabbard dan Ratcliffe sendiri.
Sementara itu, Trump mempertahankan pasukannya apabila diminta mengulas mengenai insiden tersebut dalam satu acara di White House bersama Penasihat Keselamatan Negara, Michael Waltz, yang dikatakan secara tidak sengaja telah menambah Jeffrey Goldberg ke dalam perbualan di Signal.
Trump menyatakan pentadbirannya akan menyiasat penggunaan aplikasi Signal secara dalaman, namun beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk Waltz memohon maaf atau meletakkan jawatan atas insiden itu.