DUNIA

Perbuatan sabotaj sasar rangkaian kereta api di Itali

Bernama 08/02/2026 | 14:12 MYT
Beberapa landasan kereta api yang menghubungkan bandar-bandar di utara telah disasarkan dalam apa yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai serangan terancang. - Reuters
ROM: Beberapa siri cubaan sabotaj yang menyasarkan landasan kereta api di Itali menjejaskan trafik tren antara bandar, terutamanya di utara negara itu, ketika Itali mula menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina, lapor Agensi Anadolu memetik laporan media pada Sabtu.

Menurut media tempatan, beberapa landasan kereta api yang menghubungkan bandar-bandar di utara telah disasarkan dalam apa yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai serangan terancang.

Di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai menghadiri acara berkaitan Olimpik, kabel ditemui dipotong berhampiran Stesen Bologna yang merupakan hab utama kereta api, selain penemuan dua peranti bahan letupan pembakar.

Satu daripada peranti berkenaan telah menjejaskan trafik tren dari Bologna menghala ke Venice, yang menyebabkan kelewatan lebih dua jam.

Peranti kedua, yang dilaporkan bertujuan untuk mensabotaj laluan Bologna-Ancona, gagal meletup sekali gus mengelakkan gangguan lebih besar.

Satu lagi insiden dilaporkan berlaku berhampiran Bandar Pesaro, di mana suis landasan kereta api di laluan Ancona-Rimini didakwa dibakar, seterusnya meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan infrastruktur kereta api.

Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas insiden berkenaan. Bagaimanapun, tempoh kejadian yang berlaku pada hari pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk telah mencetuskan syak wasangka ia bermotif anarki, menurut laporan media. Siasatan masih lagi berjalan.

Anadolu melaporkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan, Matteo Salvini, berkata menerusi media sosial bahawa pendakwa raya sedang menyiasat insiden itu atas syak wasangka keganasan.

Secara berasingan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Antonio Tajani berkata awal minggu ini bahawa beberapa serangan siber yang menyasarkan Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina berjaya dipatahkan.

Dalam satu kenyataan pada 4 Feb, Tajani berkata siri serangan siber yang menyasarkan pejabat Kementerian Luar, laman sesawang berkaitan Olimpik dan hotel di Cortina d'Ampezzo telah disekat.

-- BERNAMA


#sabotaj #landasan kereta api #Itali #serangan terancang #bahan letupan