AS percaya normalisasi hubungan Rusia-Eropah boleh dicapai melalui ekonomi

Jared Kushner antara lain melihat potensi dalam memulihkan hubungan ekonomi dengan Rusia bagi memberi manfaat kepada pelabur AS. - Reuters
MOSCOW: Amerika Syarikat (AS) percaya pemulihan hubungan antara Rusia dan Eropah boleh dicapai melalui kerjasama ekonomi, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti memetik akhbar The Wall Street Journal pada Jumaat.
Utusan khas AS Steve Witkoff dan menantu Presiden AS Donald Trump, Jared Kushner, melihat potensi dalam memulihkan hubungan ekonomi dengan Rusia bagi memberi manfaat kepada pelabur AS serta menstabilkan hubungan Moscow dengan Eropah dan Ukraine.
Menurut laporan itu, pada pertengahan Disember, pentadbiran Trump telah mengemukakan kepada rakan-rakan Eropah dokumen berkaitan rancangan pemulihan ekonomi Ukraine dan penyambungan semula hubungan ekonomi dengan Rusia selepas konflik berakhir.
Witkoff dan Kushner berpandangan, Rusia merupakan sebuah negara yang kaya dengan peluang perniagaan, menurut laporan itu.
Sejak pertengahan November, AS telah mempromosikan pelan damai baharu bagi Ukraine. Pada 2 Dis, Presiden Rusia Vladimir Putin menerima kunjungan Witkoff dan Kushner di Kremlin. Lawatan wakil AS itu ke Rusia berkaitan perbincangan mengenai pelan damai AS bagi Ukraine. Kremlin menyatakan Rusia kekal terbuka terhadap rundingan dan komited terhadap perbincangan di Anchorage.
Pada pertengahan Disember, Berlin menjadi tuan rumah rundingan berkaitan penyelesaian konflik Ukraine yang melibatkan Witkoff, Kushner dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy. Witkoff kemudian melaporkan kemajuan berhubung pelan penyelesaian 20 perkara. Zelenskyy turut menyatakan kesediaannya untuk mengetepikan aspirasi menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sekiranya menerima jaminan keselamatan daripada negara tertentu, termasuk AS.
Pada hujung minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Dana Pelaburan Langsung Rusia, Kirill Dmitriev, yang juga wakil khas Presiden Rusia bagi kerjasama pelaburan dan ekonomi dengan negara asing, mengadakan perbincangan di Miami bersama Witkoff dan Kushner. Pegawai Rusia itu menyifatkan perbincangan berkenaan sebagai konstruktif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


