[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Perdagangan ASEAN+3 cecah US$1.2 trilion pada 2024 - Tengku Zafrul

Bernama 24/09/2025 | 11:40 MYT
Tengku Zafrul melahirkan keyakinan semangat kolaborasi bersama ASEAN+3 akan menjadi lebih produktif dan dinamik yang seterusnya memberi manfaat besar kepada perniagaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdagangan antara ASEAN dan rakan Plus 3 iaitu China, Jepun dan Korea Selatan, mencecah US$1.2 trilion pada 2024, menyumbang 31.7 peratus daripada jumlah perdagangan perkumpulan itu.


Ringkasan AI
  • Perdagangan antara ASEAN dan negara Plus 3 mencecah US$1.2 trilion pada 2024, menyumbang 31.7 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN, manakala aliran masuk FDI dari negara-negara tersebut berjumlah US$44.4 bilion atau hampir 20 peratus daripada keseluruhan FDI ke rantau ini.
  • Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul menyatakan keyakinan bahawa semangat kolaborasi ASEAN3 akan terus berkembang secara produktif dan dinamik, memberi manfaat besar kepada perniagaan dan ekonomi serantau.
  • Rangka kerja Kerjasama Ekonomi ASEAN3 yang dimulakan sejak 1997 telah membawa banyak faedah, dan penghargaan diberikan kepada semua menteri serta delegasi negara Plus 3 atas kerjasama berterusan dalam memajukan agenda ekonomi bersama.


Manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari negara-negara itu ke ASEAN berjumlah US$44.4 bilion, mewakili hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan FDI ke rantau ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

"Angka-angka ini menunjukkan kepentingan perkongsian berterusan kita," katanya dalam ucapan perasmian Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Plus 3 yang diadakan bersempena AEM ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan, di sini, hari ini.

Sesi tersebut dihadiri menteri-menteri ekonomi ASEAN dan rakan sejawatan dari negara Plus 3 iaitu Naib Menteri Perdagangan China Yan Dong, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI) Muto Yoji, dan Menteri Perdagangan Korea Selatan Yeo Han-Koo serta para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

Tengku Zafrul, yang mempengerusikan Mesyuarat AEM tahun ini di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia, melahirkan keyakinan semangat kolaborasi bersama ASEAN+3 akan menjadi lebih produktif dan dinamik yang seterusnya memberi manfaat besar kepada perniagaan.

Beliau berkata sejak dimulakan pada 1997, rangka kerja Kerjasama Ekonomi ASEAN+3 telah berkembang pesat dan membawa banyak faedah.

"Bagi pihak ASEAN, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua menteri dan delegasi Plus 3 atas kerjasama yang berterusan dan juga kepada Sekretariat ASEAN atas sokongan padu dalam memajukan agenda ekonomi bersama kita," katanya.

-- BERNAMA


#Tengku Zafrul #ASEAN25 #ASEAN Plus 3 #China