[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Perdana Menteri baharu Perancis, Sebastien Lecornu mulakan tugas secara rasmi

Bernama 10/09/2025 | 21:00 MYT
Sebastien Lecornu menggantikan Bayrou yang meletakkan jawatan selepas kalah undi percaya di Perhimpunan Kebangsaan pada Isnin. - Gambar Reuters
ISTANBUL: Perdana Menteri baharu Perancis, Sebastien Lecornu, secara rasmi memulakan tugas pada Rabu selepas mengambil alih daripada penyandang terdahulu, Francois Bayrou dalam satu majlis serah jawatan, sehari selepas Presiden Emmanuel Macron melantiknya ke jawatan itu.

Lecornu, bekas Menteri Angkatan Tentera menggantikan Bayrou yang meletakkan jawatan selepas kalah undi percaya di Perhimpunan Kebangsaan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Saya akan dan saya pasti seluruh pasukan di sekeliling saya akan melakukan segala yang termampu untuk membantu kerajaan... bantuan saya dan kami sentiasa dipastikan untuk anda pada setiap masa, sepanjang minggu dan bulan-bulan akan datang," kata Bayrou sebelum menyerahkan tugas kepada Lecornu.

Lecornu menyanjung Bayrou atas "keberanian luar biasa" kerana berpegang pada pendiriannya dan yakin bahawa "semua ini akan diiktiraf suatu hari nanti."

"Kita akan berjaya, kerana pada dasarnya... tiada jalan lain. Kita mesti berupaya menamatkan jurang berganda ini: jurang antara keadaan politik dengan apa yang wajar diharapkan rakyat bagi kehidupan seharian, kedudukan ekonomi dan sosial serta keselamatan mereka," kata Lecornu.

Beliau turut menekankan keperluan pendekatan lebih "kreatif, teknikal dan serius" dalam bekerjasama dengan pihak lawan politik.

Lecornu kini menjadi satu-satunya menteri yang berkhidmat secara berterusan sejak Macron berkuasa pada 2017.

Berusia 39 tahun, beliau pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Setiausaha Negara bagi Peralihan Inklusif dan Ekologi, Menteri Delegasi bagi Pihak Berkuasa Tempatan, Menteri Wilayah Seberang Laut, dan terbaharu sebagai Menteri Angkatan Tentera.

Perancis kini merekodkan satu daripada defisit belanjawan tertinggi dalam Kesatuan Eropah pada kadar 5.8 peratus.

Perbincangan belanjawan kekal menjadi isu utama dalam politik Perancis, dengan kegagalan mencapai persetujuan mengenai Belanjawan 2025 tahun lepas membawa kepada kejatuhan kerajaan Michel Barnier selepas ahli parlimen haluan kiri dan kanan ekstrem bersatu menyokong usul undi tidak percaya pada Disember.

-- BERNAMA




#Sebastien Lecornu #Perdana Menteri Perancis #serah jawatan #Francois Bayrou