DUNIA

Perdana Menteri Kanada Carney mohon maaf kepada Trump atas iklan antitarif

Bernama 01/11/2025 | 13:58 MYT
Mark Carney (kanan) berkata Trump berasa tersinggung dengan iklan antitarif tersebut. - Reuters
WASHINGTON: Perdana Menteri Kanada Mark Carney memohon maaf kepada Donald Trump berhubung iklan antitarif yang disiarkan oleh wilayah Ontario, yang mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menggantung rundingan perdagangan dengan Kanada, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Saya memang telah memohon maaf kepada presiden," kata Carney kepada wartawan pada Sabtu ketika ditanya mengenai perkara itu. "Presiden berasa tersinggung dengan iklan tersebut," katanya.

Trump melihat iklan televisyen yang disiarkan Ontario itu sebagai kritikan terhadap dasar tarifnya dan kemudiannya memutuskan rundingan perdagangan dengan Kanada.

Iklan berkenaan menampilkan suara bekas presiden AS Ronald Reagan yang mengulas mengenai kelemahan dasar tarif. Sejak penggal keduanya bermula, Trump kerap menggunakan tarif terhadap negara di seluruh dunia.

Presiden AS itu berkata kenyataan Reagan telah digunakan secara terpilih dan digabungkan dengan cara yang mengelirukan.

Selepas Trump menghentikan rundingan perdagangan dengan negara jiran itu, Premier Ontario Doug Ford mengumumkan minggu lalu bahawa tayangan iklan tersebut akan digantung.

Beliau berkata matlamat untuk menyedarkan rakyat AS tentang kesan tarif terhadap pekerja dan syarikat serta mencetuskan perbincangan telah pun dicapai. Namun Trump merasakan penggantungan siaran itu tidak dilakukan dengan cukup cepat, lalu segera mengumumkan tambahan tarif sebanyak 10 peratus terhadap Kanada.

Sebagai perdana menteri, Carney berkata beliau bertanggungjawab terhadap hubungan dengan Amerika Syarikat dan oleh itu telah memohon maaf walaupun beliau tidak menugaskan penerbitan iklan tersebut.

Beberapa media juga melaporkan bahawa Trump memberitahu wartawan di atas pesawat Air Force One mengenai permohonan maaf peribadi Carney, yang dipercayai dibuat di luar sebuah sidang kemuncak di Asia.

Apabila ditanya sama ada Trump kini akan menyambung semula rundingan perdagangan dengan Kanada, Trump menjawab dengan tegas "tidak", menurut laporan akhbar Toronto Star Kanada.

-- BERNAMA


#iklan televisyen kanada #iklan antitarif #donald trump tersinggung #rundingan perdagangan #mark carney