DUNIA

Perdana Menteri Perancis cadang hapus dua cuti umum untuk kurangkan hutang negara

Astro Awani 16/07/2025 | 01:20 MYT
Bayrou, yang baru dilantik sebagai perdana menteri pada Disember lalu, berdepan risiko undi tidak percaya apabila bajet itu dibentangkan di Parlimen musim luruh ini. - Foto AP
PARIS: Perdana Menteri Perancis, François Bayrou, mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan penghapusan dua cuti umum sebagai sebahagian daripada pelan bajet 2026 yang bertujuan mengurangkan hutang negara yang semakin membebankan.


Ringkasan AI
  • PM Franois Bayrou mahu hapus dua cuti umum Easter Monday dan 8 Mei untuk bantu kurangkan defisit bajet Perancis yang kini mencecah 5.8 peratus KDNK.
  • Bajet 2026 turut meliputi pemotongan besar, termasuk pengurangan penjawat awam dan penamatan keistimewaan cukai golongan kaya.
  • Cadangan itu cetus kritikan hebat dan boleh bawa kepada undi tidak percaya, menjejaskan kestabilan politik Bayrou.


Cadangan itu termasuk memansuhkan Easter Monday dan 8 Mei, hari memperingati kemenangan Sekutu dalam Perang Dunia Kedua di Eropah.

Bayrou menyifatkan hutang awam Perancis sebagai “bahaya maut” dan menegaskan bahawa negara itu perlu bekerja lebih keras untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan negara.

“Kita perlu mencari lebih €40 bilion untuk kekal di landasan yang betul,” katanya, merujuk kepada jumlah pemotongan bajet yang diperlukan untuk mengawal defisit tahunan yang kini mencecah 5.8 peratus daripada KDNK.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada pakej penjimatan yang lebih luas, termasuk pembekuan perbelanjaan awam, pengurangan bilangan penjawat awam, dan penamatan keistimewaan cukai bagi golongan kaya.

Bajet tersebut juga memperuntukkan peningkatan perbelanjaan pertahanan sebanyak €3.5 bilion tahun depan dan tambahan €3 bilion menjelang 2027.

Cadangan Bayrou menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak.

Parti pelampau kanan National Rally menyifatkan langkah itu sebagai serangan terhadap sejarah dan pekerja Perancis, manakala pemimpin parti hijau, Marine Tondelier, mengkritik penghapusan hari memperingati kemenangan terhadap Nazisme.

Bayrou, yang baru dilantik sebagai perdana menteri pada Disember lalu, berdepan risiko undi tidak percaya apabila bajet itu dibentangkan di Parlimen musim luruh ini.

Jika gagal, kerajaan beliau mungkin tumbang seperti pendahulunya, Michel Barnier, yang digulingkan melalui undi tidak percaya pada Disember 2024.






#Fran ois Bayrou #cuti umum #Hutang negara #pelan bajet 2026